Skip to main
Logo Malaysiakini

508 kenderaan mahu pulang kampung diarah patah balik

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob hari ini memaklumkan bahawa sejumlah 508 kenderaan yang cuba rentas negeri untuk pulang ke kampung diarah patah balik, semalam.

Jelas Ismail, tindakan itu di ambil pihak polis di antara 146 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di seluruh negara yang telah memeriksa 238,500 kenderaan.

"Walaupun kita kata jangan balik kampung, tolong jangan balik kampung terutamanya yang rentas negeri, tapi masih berlaku.

"Semalam, sebanyak 508 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung telah diarah berpatah balik oleh polis.

"Jadi saya nak ingatkan bahawa sekatan jalan raya telah pun bermula. Tindakan telah pun (mula) diambil," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Tambah Ismail, mesyuarat hari ini juga memutuskan tindakan kompaun boleh diambil oleh pihak polis.

Ismail berkata, semalam juga polis telah menahan seramai 72 individu kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Sementara itu, mengulas mengenai kawalan sempadan negara, Ismail berkata kerajaan sentiasa memandang serius percubaan membolosi sempadan negara terutamanya melalui lorong-lorong tikus, darat atau pun laut.

Menurutnya, sehingga 15 Mei, agensi kerajaan yang mengawal sempadan berjaya menangkap 1,408 pendatang tanpa izin (Pati) yang cuba memasuki negara ini melalui lorong2 tikus laut dan darat.

"Pihak berkuasa juga telah mengenal pasti tekong-tekong yang terlibat cuba membawa masuk Pati. Sehingga kini 14 tekong tersebut telah ditangkap," katanya.