Skip to main
Logo Malaysiakini

Maszlee kongsi pengalaman bersama guru ketika jadi menteri

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sempena Hari Guru hari ini, Dr Maszlee Malik berkongsi pengalamannya bersama guru-guru di hari-hari awal beliau menjadi menteri pendidikan.

Maszlee berkata beliau jarang berkongsi kisahnya dengan guru ketika menjadi menteri, tidak seperti pengalaman bersama guru ketika waktu kecil yang sering diceritakannya.

Menurutnya, tempoh awal perkhidmatannya diisi dengan lawatan ke sekolah bersama-sama pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan, dan ia menyebabkannya sedar akan satu perkara.

Katanya, ketika itu kunjungannya sering disambut secara khas oleh para guru, malah ada yang memasak untuk menjamunya dan kelas-kelas pula dihias untuk menerima lawatannya.

“Sejak itu saya sudah tahu, cikgu-cikgu tentu banyak menghabiskan masa untuk menyambut tetamu VIP macam saya.

“Selepas itu, kebanyakan masa, saya sudah tidak lagi memaklumkan perancangan saya jika mahu ke sekolah, kecuali (jika) memang dijemput untuk merasmikan mana-mana program.

“Saya akan hadir secara mengejut sahaja. Saya suka tiba-tiba muncul di bilik guru dan tengok cikgu sedang menyemak kerja rumah murid-murid,” kongsinya dalam satu siri cipaan di Twitter.

 Bagaimanapun, menurut Maszlee, kunjungan mengejut itu membuatkannya sedar akan satu lagi perkara, iaitu kerja pengkeranian yang membebankan guru setelah melihat mereka mengisi buku kerja sewaktu bertugas.

Menerusi perbualan dengan guru di Sarawak pula, beliau berkata mendapat tahu tentang masalah "guru duka lara" iaitu pasangan guru yang terpisah kerana bertugas di negeri berbeza dengan permohonan pertukaran yang sering ditolak.

Maszlee berkata, beliau kemudian membangkitkan masalah-masalah tersebut ke peringkat kementerian dan meminta jawatankuasa khas - yang turut dianggotai guru sendiri - dibentuk bagi mengurangkan beban tugasan golongan itu.

Maszlee berkata setakat Januari lalu iaitu ketika beliau meletakkan jawatan, sekurang-kurangnya 60 peratus beban guru telah diringankan, dan mengikut perancangannya, angka itu akan meningkat kepada 80 peratus menjelang akhir tahun ini.

Berkenaan isu "guru duka lara pula", beliau berkata telah meminta pegawai bertanggungjawab untuk memenuhkan kuota pertukarang guru semaksimum mungkin, dan menurut perancangan asal satu aplikasi akan dilancarkan tahun ini bagi permohonan pertukaran suka sama suka antara guru.

“Saya tidak pasti status perancangan itu bagaimana sekarang [...]," katanya.

Menurut Maszlee, beliau cuba memastikan guru menjadi teras bagi apa saja perubahan, tindakan dan perancangan Kementerian Pendidikan.

"Terima kasih cikgu-cikgu semua, yang pernah saya jumpa juga yang tak pernah jumpa, terima kasih kerana menjadi kekuatan saya di hari-hari yang saya sangat perlukannya.

“Terima kasih kerana dalam setiap lelah dan keluh, cikgu-cikgu tak pernah berputus asa, dan cekal dan tabah untuk bangun setiap hari dan pergi sekolah mendidik anak bangsa," katanya lagi.