Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemegang pas MM2H dibenar kembali ke Malaysia mulai esok

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Warga asing di bawah program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) akhirnya akan dibenarkan memasuki negara bermula esok, menurut Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (Motac).

Langkah itu merupakan pengecualian khas setelah mereka dilarang memasuki Malaysia sejak 18 Mac lalu ekoran penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung wabak Covid-19.

“Malaysia telah membuat satu keputusan bijaksana dengan membenarkan ahli MM2H yang terkandas di luar negara untuk pulang ke rumah mereka di Malaysia, ekoran pelonggaran terhadap PKP yang dikuat kuasa sejak 18 Mac lalu gara-gara pandemik Covid-19.

“Dalam hal ini, ahli MM2H yang terkandas boleh masuk semula ke Malaysia bermula 17 Mei.

“Meskipun kerajaan mengalu-alukan kepulangan ahli MM2H yang terkandas, mereka perlu akur dengan semua keperluan PKP.

“Ini termasuklah saringan kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur serta kuarantin 14 hari di stesen kuarantin dan menanggung kos penginapan di stesen kuarantin masing-masing,” kata menterinya, Nancy Shukri dalam satu kenyataan.

Kata Nancy, berdasarkan rekod kementeriannya, seramai 253 orang, termasuk tanggungan mereka, didapati terkandas di luar negara dan memohon untuk pulang ke Malaysia.

Mereka tidak dibenarkan masuk semula ke Malaysia gara-gara larangan kemasukan terhadap semua warga asing di bawah PKP, meskipun mereka tinggal di Malaysia di bawah program MM2H.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan kemelut dihadapi pemegang pas MM2H yang yang terkandas di luar negara, malah salah satu keluarga menyatakan mereka sedia meninggalkan Malaysia jika sudah tidak dikehendaki kerajaan dan hanya berharap dibenarkan pulang mengambil barangan mereka.

Sementara itu, Nancy berkata kerajaan mengambil berat akan masalah yang dihadapi ahli MM2H yang terkandas di luar negara semasa PKP.

“Kami harap mereka faham cabaran yang dihadapi kerajaan dalam menghadapi krisis Covid-19 yang merebak pantas di seluruh negara.

“Kerajaan memberikan keutamaan teratas untuk melindungi penduduk, termasuk komuniti MM2H daripada Covid-19, juga bagi melindungi sempadan Malaysia daripada sebaran virus itu.

“Pendekatan pantas dan efektif diambil kerajaan berjaya membantu membendung dan melandaikan keluk pademik,” katanya lagi.

Nancy berkata, kerajaan berharap pemegang pas MM2H akan selamat pulang ke rumah kedua mereka di Malaysia untuk disatukan semula dengan orang-orang yang tersayang.

[Baca berita asal]