Skip to main
Logo Malaysiakini

Petugas media digesa patuhi penjarakan sosial

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Petugas media digesa mematuhi garis panduan pencegahan Covid-19 termasuklah menjaga jarak sosial semasa bertugas.

Peringatan itu diberikan Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob yang mengulas gambar tular di media sosial memaparkan sejumlah anggota media yang bertugas di Masjid Negara semalam ketika membuat liputan solat Jumaat pertama yang diadakan setelah hampir dua bulan penutupan masjid.

"Semalam terdapat isu, bukan isu jemaah tetapi pengamal-pengamal media yang datang terlalu ramai berhimpit-himpit dan jelas tidak mengamalkan penjarakan sosial.

"Justeru saya memohon kepada pengamal media jika ingin membuat laporan berita sekalipun tolong patuhi setiap SOP yang dikeluarkan termasuk penjarakan sosial," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Gambar berkenaan tular di media sosial dan mengundang kritikan netizen terhadap wartawan yang bertugas di lokasi berkenaan.

Malaysiakini difahamkan bahawa gambar itu diambil semasa taklimat mengenai panduan solat Jumaat yang baru, dan petugas media tidak dibenarkan untuk menyertai sesi solat selepas itu.

Ismail sebelum ini mengatakan bahawa menteri agama, Zulkifli Mohamad telah memberitahu mesyuarat menteri hari ini bahawa semua 25 masjid dan 30 surau yang dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat kebanyakannya mematuhi prosedur operasi standard baru.

Ismail bagaiamanpun bersetuju agar penganjur acara harus memastikan ruang yang cukup kepada pengamal media untuk mengamalkan jarak sosial.

"Kita akan berbincang dengan pihak penganjur kalau macam itu. Mungkin media pun tak tahu tempat itu sempit atau tidak.

"Tapi saya rasa pengamal media pun tau tentang asas SOP seperti penjarakan sosial. Kalau dah nampak tempat tu sempit, saya percaya tak perlu masuk lagi kerana membahayakan diri sendiri.

"Saya setuju penganjur mana-mana penganjur program kalau nak undang pengamatan media kena sediakan kawasan bertanda...jika didapati kawasan tersebut sempit, maka mereka pun boleh menghadkan media yang hadir," katanya.