Ismail: Majikan perlu tanggung sendiri jika mahu buat ujian berkala
Tiada perubahan dalam prosedur pembayaran bagi ujian Covid-19 mandatori terhadap semua pekerja asing dalam sektor pembinaan dan keselamatan di Wilayah Persekutuan dan Selangor, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.
Ismail berkata kos ujian itu akan ditanggung Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atau majikan, tetapi majikan bebas untuk mengeluarkan belanja bagi ujian berkala terhadap pekerja mereka jika merasakan ada keperluan untuk berbuat demikian.
"Jika mereka rasa ujian sekali tak cukup, terpulang untuk buat ujian berapa kali kerana kesan kes positif Covid-19 di kalangan pekerja akan memberi kesan terhadap perniagaan mereka.
"Jika mereka rasa perlu buat ujian dua atau tiga kali...prosedur operasi standard (SOP) kekal sama," katanya ketika sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.
Semua pekerja tempatan dan asing yang mencarum dalam Perkeso boleh membuat ujian menerusi Program Saringan Prihatin (PSP), sementara ujian bagi pekerja lain perlu ditanggung majikan masing-masing.
Beliau mengulas gesaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) agar kerajaan menjelaskan prosedur berkenaan proses ujian Covid-19 oleh Perkeso.
Setiausaha Agung MTUC J Solomon berkata, ujian sekali yang ditetapkan pada masa ini tidak memadai bagi memastikan tempat kerja bebas daripada penularan wabak itu.
Katanya, ia terutama selepas Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham berkata pekerja masih boleh dijangkiti wabak melangkaui jangka masa tertentu, walaupun setelah menjalani pemeriksaan, jika mereka terdedah kepada virus berkenaan.
Jika ujian berkala ditetapkan selepas ini, Solomon mengulang semula bantahan MTUC terhadap penggunaan dana Perkeso untuk tujuan itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai