Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: 17 kes baru, 73 sembuh, satu lagi kematian

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan terdapat 17 kes baru Covid-19 yang dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari ini, menjadi hari kedua dalam minggu ini bilangan kes baru kurang daripada 20.

Ia menjadikan jumlah kes Covid-19 di Malaysia setakat ini sebanyak 6,872 kes.

"Ingin dimaklumkan daripada 17 kes baru yang dilaporkan, enam adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala sebelas kes adalah penularan tempatan yang melibatkan lima bukan warganegara," kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Terdapat satu kes baru daripada kluster pekerja tapak pembinaan di Kuala Lumpur dan juga kluster pengawal keselamatan di Cheras.

Menurut Noor Hisham, seramai 26,000 pekerja asing telah menjalani ujian Covid-19, dengan 1,302 daripadanya positif.

Sejumlah 464 kes melibatkan warga asing masih lagi kes aktif.

Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan seramai 73 pesakit telah pulih dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan jumlah kes pulih kepada 5,512, iaitu 80.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ia menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 1,247 kes.

Setakat ini, 13 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan lima daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Noor Hisham turut memaklumkan satu lagi kes kematian berkaitan Covid-19 yang dilaporkan, menjadikan angka korban setakat ini sebanyak 113 orang, atau 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Berikut adalah maklumat pesakit tersebut:

Pesakit 6,856 (kematian ke-113)

Wanita tempatan berumur 53 tahun. Beliau mempunyai sejarah penyakit barah dan darah tinggi. Beliau adalah merupakan seorang kakitangan perubatan KKM di Sabah (namun telah bercuti sakit disebabkan barah).

Beliau dimasukkan ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah, Likas pada 5 Mei lalu disebabkan kesihatan beliau yang semakin merosot.

Beliau didapati positif Covid-19 dan disahkan meninggal dunia pada jam 1.30 petang, 7 Mei lalu.

Bagaimanapun Noor Hisham berkata punca kematian wanita tersebut adalah kanser.

Katanya lagi, kes itu telah mencetuskan perbincangan sama ada pesakit Covid-19 yang tidak meninggal dunia akibat virus tersebut - misalnya kerana mengalami kanser ataupun membunuh diri - patut diklasifikasikan sebagai kematian Covid-19 seperti pada masa ini, atau tidak.

Laporan tambahan oleh Faisal Asyraf.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.