Skip to main
Logo Malaysiakini

Hadi nak guna jawatan duta perjuang isu umat Islam

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Abdul Hadi Awang, akan menggunakan hubungan baiknya dengan organisasi dan pemimpin antarabangsa bagi menyuarakan isu dihadapi umat Islam khususnya di Pelestin, Rohingya serta Kashmir.

Menurut Abdul Hadi, beliau bersama rakan-rakan yang lain akan berusaha untuk mencari titik pertemuan bagi menyeru pemimpin dan umat Islam seluruh dunia bersatu.

"Walaupun tugas berat dan besar saya anggap ini satu tugas yang wajib dan dengan dibantu rakan-rakan yang lain kita akan berusaha satukan umat Islam yang berpecah sehingga diratah oleh musuh-musuh.

"Keseluruhan umat Islam masih ada kecintaan pada umat Islam, titik pertemuan kepada kecintaan kepada Islam mesti digunakan untuk menyatukan umat Islam.

"Insya-Allah saya akan manfaatkann hubungan saya dengan organisasi antarabangsa dan pemimpin antarabangsa, bukan saja isu Palestin, isu Rohingya dan Khasmir akan kita usahakan," katanya dalam program bual bicara yang disiarkan di TV Alhijrah pagi ini.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan siapakah tokoh yang dirujuk presiden PAS itu sebagai "rakan-rakan" beliau itu.

Pada program itu, Abdul Hadi yang juga ahl parlimen Marang diundang sebagai tetamu bagi membicarakan Pasca 72 Tahun Derita Nakbah Palestin.

Ia bagi memperingati detik sejarah apabila bumi Palestin diceroboh oleh Zionis Israel.

Pada 2 April lalu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengumumkan pelantikan Abdul Hadi sebagai duta khas perdana menteri ke Timur Tengah.

Dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, pelantikan itu juga meletakkan presiden PAS terbabit sebagai bertaraf menteri.

Mengulas mengenai penindasan yang dihadapi umat Islam di Palestin, Abdul Hadi berkata menjadi tanggungjawab umat Islam menentang kezaliman berkenaan.

Dalam mengenang peristiwa nakbah itu Abdul Hadi berkata, majoriti negara dunia menentang penubuhan negara haram Israel.

Malah katanya, negara Islam di rantau ini seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei juga turut tidak mengiktiraf pembentukan Israel.

Sempena bulan Ramadan ini, Hadi menyeru kepada umat Islam supaya menghayati sirah perjuangan Islam dan terus berdoa untuk rakyat Palestin yang dizalimi.

"Ramadan bulan bersejarah bagi melahirkan takwa kepada Allah ia bulan kemenangan badar (perang badar) yang terkenal serta kemerdekaan kota Makkah.

"Sekiranya kita kembali kepada agama, Allah berikan kekuatan kepada kita.

"Manfaatkan dalam (bulan) puasa yang wajib ini berdoa bukan saja untuk kita tapi untuk umat Islam," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.