Skip to main
Logo Malaysiakini

Bagaimana Cuba melawan Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

GLOBAL | Cuba, negara kepulauan Caribbean terkenal dengan pantai-pantai yang indah, seni bina, cerut dan bekas pemimpin revolusinya, Fidel Castro.

Personaliti Hollywood yang terkenal, seperti Gloria Estefan, Cameron Diaz, Eva Mendes dan bintang yang semakin meningkat, Camila Cabello juga berasal dari pulau itu, terutamanya dari ibu negaranya, Havana.

Bagaimanapun, kurang diketahui mengenai kepakaran negara itu dalam bioteknologi, yang dianggap sebagai sebahagian daripada kepelbagaian ekonominya pada 1980-an semasa era Castro.

Perancangan selama empat dekad lepas kini memberi Cuba kelebihan dalam memerangi Covid-19 dalam usaha mencari rawatan yang berkesan atau vaksin untuk koronavirus.

Negara itu mula menjalankan ujian untuk Covid-19, dan berjaya mengekalkan kadar jangkitan kepada kurang daripada 20 kes baru sehari, dengan hanya enam kes baru dilaporkan pada Jumaat.

Duta Besar Cuba ke Malaysia Ibete Fernández Hernandez berkata kerajaan negara itu telah mengambil langkah-langkah pencegahan bersama dengan pihak berkuasa kesihatan dan komuniti saintifik.

“Berdasarkan pengalaman kami, kami merangka pelan untuk menghadapi dan mengawal penyakit itu,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Ketika artikel ini ditulis, Kementerian Kesihatan Cuba dalam twitter, @MINSAPCuba, melaporkan 1,840 kes Covid-19 yang disahkan, manakala 1,425 telah pulih dan 79 kematian.

Walaupun menghadapi sekatan daripada Amerika Syarikat (AS) sejak 1962, Cuba mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang berkesan dan menyaksikan negara itu telah berjaya menghapuskan polio pada 1962, malaria pada 1967, tetanus neonatal pada 1972, difteria pada 1979, sindrom rubela kongenital pada 1989, meningitis selepas beguk pada 1989, campak pada 1993, rubella pada 1995, dan meningitis tuberkulosis pada 1997.

Menurut Big Think, data 2010 portal web pelbagai medium, negara itu mempunyai nisbah doktor-pesakit tertinggi di dunia, dengan 8.2 doktor bagi setiap 1,000 orang.

Antara strategi utamanya dalam menangani krisis kesihatan ialah menugaskan barisan hadapan perubatan untuk menetap di kawasan yang mereka berkhidmat, kaedah yang diperkenalkan pada 1984 dan telah menjadi model operasi standard hingga kini.

“Faktor penting dalam memerangi pandemik ini ialah siasatan aktif oleh komuniti - keluar mencari kes dan tidak menunggu pesakit datang ke hospital,” katanya.

Beliau berkata aspek penting dalam pelan memerangi Covid-19 ialah mempelajari daripada pengalaman negara-negara pertama yang terjejas oleh pandemik tersebut, negara-negara yang terjejas teruk, dan melaksanakan protokol antarabangsa.

“Pelan dirangka dan mengguna pakai tahap praepidemik dan epidemik, dengan langkah-langkah mengikut kesukaran masing-masing,” katanya.

Kemajuan bioperubatan lindungi Cuba

Hernandez berkata komuniti saintifik Cuba telah memberi tumpuan kepada penyelidikan untuk protokol perubatan dan rawatan yang membantu memerangi Covid-19, malah sebelum kes pertama disahkan dilaporkan di negara itu.

“Mempunyai industri bioteknologi peringkat tinggi, yang hanya didapati di negara-negara maju, membolehkan Cuba menghadapi pandemik tersebut dengan situasi yang lebih baik,” katanya.

Sejak awal penularan koronavirus baru itu di China, katanya penggunaan interferon Alfa 2B, dihasilkan dengan teknologi Cuba, didapati dapat memerangi penyakit itu berdasarkan sifat-sifat antivirus yang terbukti.

“Suruhanjaya Kesihatan China telah meminta syarikat yang menghasilkan interferon, termasuk Changchun Heber (usaha sama dengan Cuba), untuk membekalkan ubat ini kepada sistem kesihatan.

“Ia bukan satu-satunya ubat yang digunakan untuk menangani pandemik itu, tetapi ia antara yang paling banyak digunakan untuk rawatan Covid-19, terutamanya dalam bentuk aerosol,” katanya.

Antara institusi saintifik Cuba yang berprestij, Centre of Molecular Immunology, telah terlibat dalam kajian mengenai virus baru itu, dan protokol penyelidikan kini dibangunkan dengan tiga produk Cuba, antaranya mengawal keradangan hiper, antara fasa Covid-19 yang menyebabkan paling bahaya kepada pesakit.

Selain itu, ubat lain telah dimasukkan dalam protokol, yang sebelum ini digunakan untuk merawat anaemia bagi pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang, dan protokol penyelidikan ketiga dengan molekul yang akan menjana semula tisu yang rosak dalam paru-paru.

Sementara itu, Immunoassay Centre yang berpangkalan di Havana berjaya membina sistem diagnostik untuk mengesan antibodi yang dihasilkan oleh koronavirus baru itu.

“Kajian penduduk dengan teknologi ini akan dijalankan tidak lama lagi di Cuba, yang akan membolehkan perilaku Covid-19 didiagnosis dengan ketepatan yang lebih baik dalam kumpulan penduduk yang bukan kontak atau suspek dan untuk mengelak kemungkinan penularan,” kata Hernandez.

Kekangan ekonomi bukan halangan

Menurut dapatan daripada David Rockefeller Centre for Latin American Studies di Universiti Harvard, walaupun sebelum pandemik Covid-19, Cuba telah mengalami krisis ekonomi yang teruk sejak 1990-an selepas kejatuhan kem sosialis.

Katanya selain mengekalkan model perancangan pusat dengan beberapa pembaharuan yang tidak dapat meningkatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pengeluaran, Cuba turut terjejas dari segi hubungan ekonominya dengan Venezuela, manakala dasar agresif Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah mengukuhkan embargo AS.

Bagaimanapun, faktor tersebut tidak menghalang negara itu daripada menjalankan usaha-usaha kemanusiaan, atau dengan kata lain, "doktor-diplomasi".

Cuba mempunyai sejarah panjang dalam menghantar bantuan perubatan kepada negara-negara yang mengalami krisis dan meneruskan legasinya ketika dunia memerangi pandemik tersebut.

Menurut laporan berita, sebanyak 22 negara telah meminta bantuan daripada Cuba dan setakat ini telah menghantar bantuan ke Itali, Afrika Selatan, Venezuela, Nicaragua, Surinam, Jamaica, Haiti, Belize dan Dominica.

“Cuba telah beberapa kali menyalurkan bantuan, tetapi tidak pernah sebanyak itu dalam tempoh yang singkat.

“Sejak seminggu lepas, Briged Henry Reeve telah berlepas setiap awal pagi yang kesemuanya sudah berjumlah 11 perjalanan. Perkara itu tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata Menteri Kesihatan Cuba, Jose Angel Portal Miranda melalui twitter rasmi beliau, @japortalmiranda pada 28 Mac.

Hubungan Cuba dan Malaysia

Hernandez memuji usaha Malaysia dalam mengendalikan pandemik Covid-19, yang telah membuahkan hasil yang ketara setakat ini.

“Saya percaya ini disebabkan keutamaan yang diberikan oleh kerajaan untuk membendung penularan tersebut. Antara pengajaran daripada pandemik ini ialah kemampuan organisasi dan respons, serta kerjasama antara negara,” katanya.

Duta Besar itu juga berkata Cuba dan Malaysia boleh bekerjasama untuk menangani pandemik itu melalui langkah yang lebih proaktif berikutan ia mempunyai pengetahuan dan pengalaman manakala Malaysia mempunyai asas yang diperlukan.

“Dengan pengalaman kami selama hampir 40 tahun dalam bioteknologi dan infrastruktur Malaysia, kami bersedia untuk bekerjasama.

“Covid-19 masih belum selesai dan kita perlu bersedia untuk penularan baru, dalam peringkat baru, dan kita perlu berkongsi pengalaman,” katanya.

Cuba dan Malaysia telah menjalin hubungan diplomatik pada 6 Feb, 1975 — semasa perbezaan ideologi Perang Dingin — dan sejak itu negara telah menikmati hubungan dan kerjasama yang bermakna dalam banyak bidang — politik, ekonomi, perubatan, pendidikan, bioteknologi, sukan dan hubungan rakyat dengan rakyat.

Cuba telah membuka kedutaannya di Kuala Lumpur pada 1997, dan Malaysia membuka kedutaannya di Havana pada Februari 2001.

Laporan oleh Aishah Mohmad Afandi

-Bernama