Skip to main
Logo Malaysiakini

PM pun Umno alu-alukan kalau masuk semula, kata Annuar

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Usahkan bekas ahli biasa, kalau Muhyiddin Yassin sekalipun mahu kembali kepada Umno, parti itu akan menyambutnya dengan gembira, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa.

Bercakap kepada media di Kota Bharu hari ini, Annuar yang pernah menjadi setiausaha agung Umno berkata turut dialu-alukan ialah bekas pemimpin parti itu yang kini menyertai Bersatu dan berkhidmat sebagai menteri atau timbalan menteri.

Katanya menjadi suatu kegembiraan buat Umno apabila ada bekas wakil rakyat mereka - yang sebelum ini keluar selepas BN kalah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) - mahu kembali semula.

Beliau menegaskan Umno percaya semakin sedikit jumlah parti yang ada dalam negara ini, semakin mudah untuk ia diuruskan serta kurang berlaku perpecahan.

"Kita alu-alukan kepada semua termasuk perdana menteri, menteri dan timbalan menteri. Asalnya semua mereka dari Umno, jadi jika mereka mahu kembali, apa salahnya?

"Kita sangat alu-alukan. Ini sejujurnya dan serius," katanya kepada media selepas menyampaikan bantuan Aidilfitiri kepada imam dan bilal di kawasan parlimen Ketereh.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Adun Tambun Tulang, Ismail Kassim - yang juga adik bekas menteri Shahidan Kassim kini kembali menyertai Umno.

Susun langkah untuk kempen

Untuk rekod ia bukanlah pelawaan atau saranan pertama dibuat pemimpin Umno buat Muhyiddin.

Sebelum ini anggota Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman, turut membuat cadangan sama dan menyatakan Muhyiddin boleh kekal sebagai perdana menteri walaupun mewakili Umno.

Muhyiddin sebelum ini dipilih sebagai timbalan presiden Umno dan dilantik menjadi timbalan perdana menteri oleh Najib Razak.

Bagaimanapun ekoran skandal 1MDB, Muhyiddin dipecat daripada Umno dan bersama Dr Mahathir Mohamad dan Mukhriz Mahathir, beliau menubuhkan Bersatu bagi menyaingi parti berkenaan.


Baca Muhyiddin patut masuk Umno semula, kata Tajuddin


Mahathir dan Mukhriz kini kekal dengan pendirian enggan bekerjasama dengan parti lama mereka, manakala Muhyiddin membawa Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan (PH).

Tindakan itu menyaksikan kerajaan PH jatuh, manakala Muhyiddin dilantik menjadi perdana menteri menggantikan Mahathir.

Ismail bertindak demikian selepas lebih 23 bulan menjadi Adun bebas sejak 2018.

Sementara itu mengulas mengenai persiapan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Chini, Annuar berkata calon yang akan bertanding bakal diumumkan tidak lama lagi.

Jelasnya, Muafakat Nasional sedang menyusun kaedah kempen dengan normal baru.

"Saya sedang susun prosedur operasi standard (SOP) kempen baru. Kali ini kita tidak lagi menggunakan cara biasa membabitkan perhimpunan ramai dan berarak ketika proses penamaan calon.

"Sebaliknya apa yang dilakukan nanti mengikut garis panduan dan SOP Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya yang turut dilantik selaku pengarah PRK tersebut.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.