Skip to main
Logo Malaysiakini

Mukhriz dakwa PAS mungkir janji untuk beliau kekal MB hingga tamat penggal

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mukhriz Mahathir mendakwa PAS telah mungkir janji untuk membolehkannya terus menerajui pentadbiran kerajaan Kedah sehingga tamat penggal ini.

Menurut Mukhriz, yang meletakkan jawatannya hari ini, janji itu dibuat selepas kejatuhan pentadbiran PH di peringkat pusat, yang kemudian membawa kepada pertukaran kerajaan di beberapa negeri.

"Di kedah saya ambil keputusan kekalkan kerjasama dengan PH negeri.

"Kepimpinan PAS Kedah juga telah beri jaminan bahawa mereka tidak akan mendesak adun-adun PH untuk melompat ke pihak mereka, dan setuju saya terus berkhidmat sebagai menteri besar sehingga akhir penggal.

"Permohonan mereka adalah agar kerajaan negeri tidak memandang mereka semata-mata sebagai pembangkang, sebaliknya beri peruntukan tambahan kepada pusat khidmat DUN PAS dan Umno," katanya ketika sidang media di Wisma Darul Aman, Kedah, hari ini.


Sanusi nafi PAS mungkir janji sokong Mukhriz hingga tamat penggal


Pada Februari lalu, Malaysia menyaksikan kemelut politik yang mengakibatkan kerajaan PH jatuh susulan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membawa keluar parti daripada gabungan itu.

Ia menyaksikan Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan.

Langkah Bersatu juga membawa kepada pertukaran kerajaan yang sebelum ini ditadbir PH, iaitu Johor, Perak dan Melaka.

Jawatan menteri besar Johor dan dan ketua menteri Melaka diberikan kepada Umno, manakala Ahmad Faizal Azumu daripada Bersatu kekal sebagai menteri besar Perak.

Bagaimanapun pada masa itu Mukhriz mengekalkan kerjasama Bersatu dengan PH di Kedah, membolehkan pentadbiran negeri terus kekal sehinggalah peralihan sokongan enam Adun - dua bekas PKR dan empat daripada Bersatu - kepada PN minggu lalu.

Berkenaan permohonan PAS berkenaan peruntukan itu, Mukhriz mendakwa ia telah dikemukakan dan diluluskan.

"Jelas sifat timbang rasa kami untuk meluluskan permohonan PAS itu langsung tidak diambil kira apabila mereka melayan permohonan beberapa Adun kerajaan yang berhajat melompat ke pihak mereka," katanya lagi.

Pada masa sama, Mukhriz berkata beliau dan PH tidak akan mencabar pertukaran kerajaan di Kedah kerana ia selaras dengan undang-undang tubuh kerajaan negeri.

"Tak akan cabar (di mahkamah), kami bersedia untuk tukar kerajaan pada pilihan raya umum," katanya lagi.