Armada: PN gabungan sementara atau bertahan hingga PRU?
Pemuda Bersatu (Armada) mempersoalkan apakah pembentukan Perikatan Nasional (PN) akan menyaksikan gabungan itu berganding bahu pada pilihan raya kecil Dun Chini dan pilihan raya umum akan datang.
Sayap parti Bersatu itu berkata demikian susulan memorandum persefahaman Perikatan Nasional (PN) yang dipersetujui Bersatu, BN, PAS, GPS dan dua parti berasaskan Sabah hari ini.
“Armada ingin kepastian sama ada PN adalah gabungan yang dipersetujui untuk berganding bahu untuk pilihan raya umum (PRU) ke-15 ataupun gabungan yang sementara yang hanya akan bertahan sehingga PRU yang seterusnya?”
“Paling mustahak, adakah Perikatan Nasional akan bergerak secara rasmi ataupun masih lagi menggunakan gabungan lama Muafakat Nasional menjelang PRK DUN Chini?” kata kenyataan itu lagi.
Untuk rekod, PRK Chini akan diadakan susulan kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun akibat serangan jantung pada 6 Mei lalu.
Pada 14 Mei lalu, pemimpin Umno Annuar Musa mengumumkan BN akan menggerakkan jentera Muafakat Nasional pada PRK berkenaan.
Terdahulu, enam pemimpin dari Bersatu, BN, PAS, GPS dan dua parti dari Sabah hari ini menyatakan sokongan terhadap PN dan mengumumkan memorandum persefahaman yang telah dipersetujui bersama.
Kenyataan tersebut ditandatangani Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Pengerusi GPS, Abang Johari Openg, Presiden PBS, Maximus Johnity Ongkili dan Presiden STAR, Jeffrey Kitingan.
Bersatu kini dilihat berpecah antara kumpulan menyokong Muhyiddin dan pengerusi parti itu, Dr Mahathir Mohamad susulan krisis politik yang berlaku pada penghujung Februari lalu.
Krisis politik selama seminggu itu menyaksikan Muhyiddin yang juga presiden Bersatu dilantik sebagai perdana menteri bagi menggantikan Mahathir yang meletakkan jawatannya selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Armada kini dipimpin oleh ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dianggap sehaluan dengan Mahathir.
Sementara itu, Armada juga menuntut penjelasan sekiranya beberapa kerusi yang kini disandang pemimpin Bersatu yang dilihat sehaluan dengan Muhyiddin akan dipertandingkan pada pilihan raya umum akan datang.
Sebelum ini, kumpulan yang menyokong Mahathir berpendapat PAS dan Umno tidak mungkin sanggup berkongsi kerusi tradisional yang ditandingi mereka.
Armada berkata ini termasuklah kerusi yang ditandingi bekas pemimpin Umno, Hamzah Zainuddin dan timbalan presiden PKR, Azmin Ali yang kini telah menyertai Bersatu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai