Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kabinet jelas menolak asas pembinaan negara dalam perlembagaan'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KATA MP | Sekurang-kurangnya, pemimpin Perikatan Nasional (PN) nampak seperti mampu untuk membuat lawak jenaka berkelas dunia.

Mereka menjanjikan pentadbiran berkelas dunia pada suatu hari dan esoknya menghancurkan asas pentadbiran kelas dunia itu dengan menghalang penelitian serta proses semak imbang parlimen

Persidangan parlimen hari ini merupakan titik paling hitam buat Malaysia sepanjang 63 tahun penubuhannya.

Hari ini membuktikan kabinet tidak menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip utamanya iaitu doktrin pemisahan kuasa di antara cabang eksekutif, parlimen, dan kehakiman, dan prinsip kedaulatan undang-undang.

Ia adalah tindakan tidak akan dilakukan oleh mana-mana kabinet yang menjunjung Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan “Kabinet hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada parlimen”.

Dengan parlimen 'dikunci' dan sebarang penelitian dan semak imbangnya digantung sehingga ke Julai, kepada siapakah kabinet sekarang ini bertanggungjawab?

Ini adalah satu perbuatan yang tidak boleh diterima oleh mana-mana menteri jika beliau ikhlas dan jujur kepada sumpah mengkut Jadual Keenam Perlembagaan yang diangkat di hadapan Yang di-Pertuan Agong untuk “memelihara, melindungi dan mempertahankan” Perlembagaan Persekutuan.

Malaysia kini mempunyai kabinet yang secara terang-terangan menolak asas pembinaan negara yang ada dalam Ruku Negara.

Kita pernah memiliki menteri daripada parti politik yang secara terang-terangan menolak Rukun Negara sebagai asas pembinaan negara, tetapi ini adalah kali pertama virus anti-Rukun Negara ini menjangkiti semua Jemaah Menteri yang akhirnya membawa kita kepada keputusan untuk parlimen hanya bersidang selama sehari.

Ahli-ahli Parlimen sepatutnya bersidang lebih awal lagi untuk membahaskan cabaran-cabaran baru yang datang dengan wabak Covid-19.

Misalnya bagaimana untuk mengekang penularan wabak itu dan mengelakkan penularan semula, juga kaedah bagaimana untuk kita membina semula ekonomi negara yang dirosakkan Covid-19.

Dengan kata lain, membincangkan bagaimanakah negara kita akan hidup bersama wabak ini untuk jangka masa hadapan terdekat, yang mungkin berlanjutan sehingga lima tahun, dan bukannya 12 ke 24 bulan seperti yang dijangkakan sebelum ini.

Adalah sedih dan tragis apabila persidangan parlimen diadakan hanya semata-mata untuk memenuhi keperluan perlembagaan supaya parlimen bersidang setiap enam bulan, dan bukannya untuk memastikan Malaysia mempunyai pentadbiran kelas dunia berasaskan semak imbang tindakan kerajaan untuk memastikan hanya polisi yang terbaik dilaksanakan semasa menghadapi cabaran dibawa Covid-19.

Sepatutnya kita membangunkan polisi dan amalan terbaik di dunia dalam perang melawan wabak Covid-19, tetapi sebaliknya negara kita kini menjadi titik hitam di mata dunia sebagai tempat berlakunya penyalahgunaan kuasa, rasuah berleluasa, kleptokrasi kembali, dan pencabulan hak asasi manusia.


LIM KIT SIANG ialah anggota parlimen Iskandar Puteri, Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.