Skip to main
Logo Malaysiakini

Badang, Superman dan Batman antara pelanggan kedai musim Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KORONAVIRUS | Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob, menegaskan bahawa hanya nama dan nombor telefon sahaja perlu dicatatkan pelanggan ketika memasuki sesuatu premis perniagaan.

Menurut beliau, ia adalah ketetapan sama seperti yang yang dimaklumkannya dalam sidang media pada 12 Mei lalu.

Bagaimanapun, Ismail berkata, memang terdapat premis perniagaan yang meminta pelanggan menuliskan nama penuh berdasarkan apa yang dipaparkan pada kad pengenalan masing-masing.

Katanya, langkah tersebut terpaksa dilakukan kerana terdapat segelintir individu yang gagal menyatakan nama sebenar masing-masing, sebaliknya menggunakan nama-nama watak rekaan.

Antaranya, kata menteri kanan itu, ialah Badang, Superman dan Batman.

"Kerajaan dah putuskan sebelum ini bahawa hanya nama dan nombor telefon diperlukan bagi tujuan (rekod) jika berlaku apa-apa kes yang berkaitan dengan Covid-19.

"Katakanlah ada positif (kes Covid-19), jadi kita boleh hubungi mereka yang meninggalkan nombor telefon dan datang ke premis tersebut.

"Tetapi saya difahamkan ramai orang yang tak beri nama dan nombor yang betul. Ada yang ditulis sendiri dengan nama Badang, Superman, Batman dan macam-macam," katanya.

Jangan main tulis saja

Dalam keadaan begitu, kata Ismail Sabri, ia akan menyukarkan pihak berkuasa jika berlaku sesuatu yang memerlukan pelanggan terbabit dihubungi.

"Sebab itu ada premis perniagaan tersebut meminta nama pada kad pengenalan supaya nama yang sebenar boleh diketahui," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Ismail berkata demikian mengulas persoalan masih terdapat pihak yang meminta pengunjung premis perniagaan memberikan nama dan nombor kad pengenalan ketika berkunjung ke sesuatu kawasan premis perniagaan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama dalam usaha kerajaan memutuskan rantaian wabak Covid-19 ini dengan memberikan maklumat sebenar yang diperlukan.

"Saya haraplah kepada pengunjung-pengunjung premis perniagaan, sama ada restoran dan sebagainya, letak nama yang sebenar dan juga letak nombor telefon yang sebenar.

"Sebab kalau terjadi apa-apa kecemasan yang dia merupakan kontak rapat dengan yang berkait dengan kes positif Covid-19 ini kita tak dapat hubungi dia.

"Tetapi, kalau tuan punya premis hubungi, tengok nama Superman. Siapa dia? Dan tiba-tiba nombor pun tak betul, dia main tulis saja. Jadi, akhirnya yang susah adalah mereka yang tidak memberikan nombor telefon dan nama sebenar ini," katanya.

Tambah Ismail Sabri, pengunjung dan pelanggan premis sesuatu perniagaan juga tidak perlu takut dengan risiko maklumat peribadi mereka terdedah.

"Jangan takut. Sudah tidak ada nombor kad pengenalan, tidak ada alamat rumah (diperlukan). Mereka selamat, tak (ada siapa yang ) boleh pergi ke rumah mereka sebab takut alamat rumah diketahui orang.

"Sebab saya pun (dah) kata tak payah (tulis) alamat rumah. Kalau takut nombor kad pengenalan disalahgunakan tak perlu (tulis). Cuma perlu tulis nama yang betul, nombor telefon yang betul.

"Itu sahaja, untuk memastikan semua yang terlibat nanti akan dapat dihubungi dan jika mereka terkait dengan kes positif Covid-19, mereka boleh diselamatkan," tambahnya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.