Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: 47 kes baru, 21 diimport, tiada kematian

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan 47 pesakit Covid-19 baru yang dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari ini.

Ia menjadikan jumlah kes Covid-19 di Malaysia setakat ini sebanyak 6,941 kes.

Daripada jumlah kes baru itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham berkata 21 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, 26 kes lagi penularan tempatan dengan 17 kes bukan warganegara Malaysia.

"Hari ini sebanyak 44 kes sudah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang. Dengan pertambahan kes sembuh itu, ia menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 5,615 kes atau 80.9 peratus dari keseluruhan kes.

"Sehingga jam 12 tengah hari tadi, tiada pertambahan kes kematian disebabkan Covid-19 dan jumlahnya kekal sebanyak 113 kes," katanya  pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, terdapat 13 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah itu, enam kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, beliau berkata sejak 27 April lalu sehingga semalam, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menghantar pulang seramai 49,019 pelajar ke pangkuan keluarga masing-masing.

Dr Noor Hisham berkata bagi perjalanan merentas negeri di Semenanjung Malaysia, kesemua pelajar diwajibkan menjalani kuarantin di rumah untuk tempoh 14 hari apabila tiba di kediaman masing-masing.

“Bagi pelajar yang ke Sabah dan Sarawak pula, mereka perlu menjalani ujian persampelan Covid-19 dan sekiranya keputusan negatif, baki tempoh kuarantin perlu dijalankan di rumah masing-masing.

“Kementerian Kesihatan (KKM) menyeru semua pelajar untuk mengambil iktibar daripada kes beberapa pelajar sebuah institusi pengajian iinggi (IPT) yang telah diwajibkan menjalani kuarantin di rumah, namun didapati tidak patuh dan kemudiannya didapati positif Covid-19,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sikap sedemikian boleh menyebabkan orang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak dan orang yang mempunyai sejarah penyakit kronik terdedah kepada jangkitan COVID-19.

Katanya daripada keseluruhan kes positif Covid-19 di negara ini setakat ini, sebanyak 961 kes melibatkan mereka yang berusia 60 tahun ke atas manakala kelompok berusia 12 tahun ke bawah pula merekodkan 318 kes.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan berhubung pergerakan merentas negeri selepas dilaporkan 2,931 kenderaan diarah berpatah balik setelah didapati cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung dalam tempoh tiga hari lepas.

“Ini sememangnya merisaukan, terutama jika dicampur pula dengan pelajar-pelajar IPT yang telah pulang ke rumah keluarga masing-masing,” katanya.

Beliau seterusnya menggesa rakyat terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terutamanya pada musim perayaan tidak lama lagi.