Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiga MP tak hadir dengan alasan kukuh, kata speaker

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tiga anggota parlimen dari Sarawak tidak hadir pada persidangan Dewan Rakyat hari ini tetapi mereka mempunyai alasan yang kukuh, kata Speaker Dewan Rakyat, Mohd Ariff Md Yusof.

Justeru, katanya, tidak ada tindakan akan diambil ke atas mereka.

Mereka adalah Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang (GPS) dan Ahli Parlimen Sarikei Andrew Wong (DAP) dan Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo (PKR).

Malaysiakini dimaklumkan bahawa Rubiah dan Wong dijangkiti wabak Covid-19 dan telah menjalani ujian berasingan di pusat kuarantin. Meskipun keputusan mereka didapati negatif, kedua-dua mereka masih ditahan.

Teo pula difahankan tidak hadir atas alasan kesihatan.

"Kedua-dua anggota Parlimen Sarikei dan Kota Samarahan masih diasingkan manakala anggota Parlimen Miri pula tidak sihat, tetapi bukan berkaitan dengan Covid-19," kata Ariff.

Perikatan Nasional (PN) memendekkan persidangan Dewan Rakyat dengan hanya bersidang beberapa jam hari ini atas alasan bagi membendung pandemik Covid-19.

Rabu lalu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon mengingatkan bahawa tindakan boleh diambil terhadap mereka yang gagal menghadiri persidangan hari ini.

Beliau dilaporkan berkata, persidangan berkenaan penting kerana Dewan Rakyat telah ditangguhkan selama enam bulan dan bahawa tidak seharusnya ada alasan untuk anggota parlimen tidak hadir kecuali mempunyai alasan bertulis yang kukuh seperti masalah kesihatan.

"Sekiranya mereka tidak hadir, ini boleh mempengaruhi status mereka sebagai anggota parlimen," kata Rashid.