Skip to main
Logo Malaysiakini

Pelajar langgar kuarantin didapati positif Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menggesa semua pelajar universiti yang telah dibenarkan pulang untuk menjadikan iktibar kejadian sekumpulan mahasiswa yang melanggar perintah kuarantin di rumah yang kemudiannya diuji positif untuk Covid-19.

Pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) sebelum ini diarahkan supaya menetap di kampus masing-masing sejak perintah kawalan pergerakan berkuat kuasa pada 18 Mac tetapi kerajaan mulai 27 April, lalu menghantar mereka pulang secara berperingkat.

Walau bagaimanapun, syarat yang dikenakan adalah pelajar mesti menjalani kuarantin selama 14 hari sebaik sahaja mereka tiba di rumah masing-masing.

“Kementerian Kesihatan (KKM) menyeru semua pelajar untuk mengambil iktibar daripada kes beberapa pelajar sebuah IPT yang telah diwajibkan menjalani kuarantin di rumah, namun didapati tidak patuh kepada notis arahan di bawah Seksyen 14, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit,1988 (Akta 342).

“Mereka ini juga kemudiannya didapati positif Covid-19. Ini boleh memberi risiko jangkitan Covid-19 kepada orang yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanakkanak dan orang yang mempunyai sejarah penyakit kronik.dan kemudiannya didapati positif Covid-19,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham walaui bagaimanapun tidak mendedahkan universiti yang terlibat.

Setakat ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menghantar pulang seramai 49,019 pelajar ke pangkuan keluarga masing-masing.

Mengulas lanjut, ketua pengarah kesihatan itu berkata, bagi perjalanan merentas negeri di Semenanjung Malaysia, semua pelajar diwajibkan menjalani kuarantin di rumah untuk tempoh 14 hari apabila tiba di kediaman masing-masing.

Ini termasuk mereka yang ujian saringan mereka adalah negatif.

Ini berbeza dengan prosedur ke atas rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara.

Untuk kategori kumpulan ini, mereka perlu menjalani pengasingan wajib di stesen kuarantin khusus. Kuarantin rumah tidak dibenarkan.