Skip to main
Logo Malaysiakini

KKM: Pemantauan terhadap kluster Istana Negara tamat semalam

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Noor Hisham berkata pemantauan terhadap kluster Istana Negara telah tamat, setelah kira-kira satu setengah bulan tempoh pemantauan.

“Kluster pertama yang KKM tamat pengawasan sejak semalam, iaitu 17 Mei, merupakan kluster Istana Negara.

“Kluster ini membabitkan jumlah 22 kes dan tiada kematian," katanya dalam sidang media harian Covid-19, di Putrajaya hari ini.

Pada 25 Mac lalu, dilaporkan bahawa tujuh kakitangan Istana Negara disahkan positif Covid-19.

Semua kakitangan Istana Negara dan kontak rapat mereka diarahkan untuk melakukan ujian saringan dan menjalani kuarantin secara sendiri selama 14 hari.

Yang di-Pertuan Agong bersama Raja Permaisuri turut membuat ujian saringan dan didapati negatif wabak tersebut.

Beberapa kluster lain yang ditamatkan tempoh pemantauan 28 hari antaranya ialah kluster Pengerang yang melibatkan 15 kes dan tiada kematian.

Sementara itu, Noor Hisham berkata pemantauan terhadapkluster Pudu masih dijalankan dan ia merekodkan 17 kes baru hari ini, menjadikan jumlah kes daripada kluster itu kepada 50 kes.