Laporan: 5 individu dihantar pulang ke Myanmar positif Covid-19
Beberapa individu yang dihantar pulang dari Malaysia ke Myanmar baru-baru ini didapati positif Covid-19, menurut satu laporan berita.
The Irrawaddy melaporkan Myanmar mencatatkan enam kes Covid-19 sejak Sabtu lalu.
Daripada jumlah ini, lima kes melibatkan individu yang baru tiba dari Malaysia.
Salah seorang daripada mereka adalah lelaki berusia 32 tahun yang merupakan antara 391 orang yang dihantar pulang dari Malaysia melalui dua penerbangan sewa khas pada 11 Mei.
Laporan itu memetik pegawai atase buruh Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur, U Aung Zaw Min mengatakan individu berkenaan terkandas di pusat tahanan imigresen di seluruh Malaysia selama berbulan-bulan sebelum dihantar pulang.
Laporan terdahulu mengatakan individu yang dihantar pulang akan dibawa ke kemudahan kuarantin berhampiran kampung halaman mereka untuk dikuarantin selama 21 hari.
Dalam tempoh ini, individu berusia 32 tahun itu disahkan positif mengidap wabak berkenaan pada Sabtu.
Sementara itu, laporan hari ini memetik Menteri Hal Ehwal Sosial di negeri Karen, Myanmar, U Saw Bo Bo Wai Maung mengatakan terdapat 16 orang dikuarantin di negeri ini selepas pulang dari Malaysia, dan mereka diasingkan daripada pesakit lain.
"Kami terpaksa menguji mereka dengan cepat kerana salah seorang yang pulang dari negeri Chin (di Myanmar) didapati positif Covid-19.
"Di sini, dua daripada sejumlah 16 yang pulang dari Malaysia didapati positif virus berkenaan dan yang lain bebas daripada virus itu," beliau dipetik sebagai berkata.
Menteri Imigresen dan Sumber Manusia Wilayah Tanintharyi, U Kyaw Min dilapor berkata salah seorang daripada 21 orang yang dihantar pulang di wilayahnya telah disahkan positif Covid-19 tetapi dalam keadaan sihat.
Di Yangon, wakil rakyat dari wilayah itu, U Khin Maung Win berkata seorang lelaki berusia 41 tahun yang kembali dari Malaysia melalui penerbangan pulang 8 Mei disahkan mengidap Covid-19.
Myanmar melaporkan 187 kes Covid-19 setakat ini, termasuk enam kematian.
Sementara itu, Malaysia mencatatkan 6,941 kes termasuk 113 kematian, dengan pekerja asing dianggap sebagai kumpulan 'berisiko tinggi' kerana keadaan hidup mereka yang melarat.
Tidak jelas sama ada lima individu yang dihantar pulang dari Malaysia dijangkiti wabak itu ketika berada di Malaysia, di Myanmar, atau ketika dalam perjalanan pulang.
Namun, beberapa NGO di Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan imigresen mensasarkan pendatang asing yang tidak memiliki dokumen yang sah semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
Antara lain, mereka memberi amaran keadaan sesak di pusat tahanan imigresen akan menyebabkan penyakit itu merebak dengan mudah sehingga mengancam nyawa.
Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Kesihatan berhubung laporan tersebut dan sedang menunggu maklum balas.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Khairul Dzaimee Daud enggan mengulas mengenai laporan itu ketika dihubungi.
Laporan tambahan oleh Alyaa Alhadjri
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai