Skip to main
Logo Malaysiakini

Sebahagian Titah Agong hanya boleh datang dari istana - KJ

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Walaupun kerajaan berperanan dalam merangka draf Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah di parlimen, Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata sebahagian daripada titah baginda hanya boleh datang dari istana sendiri.

Anggota Parlimen Rembau itu berkata demikian selepas mendapati tweet beliau mengenai perkara itu pada tahun 2017 diulang semula hari ini.

"Saya dapati ada yang retweet hantaran lama saya.

"Walaupun ia masih ada, saya fikir disebabkan oleh keadaan yang luar biasa dalam beberapa bulan yang lepas, terdapat bahagian titah diraja hari ini yang hanya boleh datang dari istana, contohnya Agong minta bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mempertimbangkan meletakkan jawatan," katanya.

Beliau merujuk kepada tweetnya pada 6 Mac 2017, yang mengatakan titah Seri Paduka digubal oleh kerajaan memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara raja berperlembagaan.

"Monarki tidak melaksanakan kuasa peribadi dalam kerajaan," kata beliau pada masa itu.

Ketika persidangan Dewan Rakyat hari ini, Seri Paduka bertitah bahawa baginda cuba menasihati bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad agar tidak meletak jawatan pada Februari lalu, namun anggota parlimen Langkawi itu tetap dengan keputusannya.

Seri Paduka juga bertitah bahawa baginda sudah menggalas amanah dengan telus dan seadil-adilnya dalam pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas mendapati anggota parlimen Pagoh itu memperoleh sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

Pada masa sama, baginda menasihatkan pemimpin politik supaya tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik tidak menentu ketika rakyat berdepan wabak Covid-19.

-