Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tak perlu penat lelah, ada khidmat siapkan tugasan siswa'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Khidmat menyiapkan tugasan yang ditawarkan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) kini semakin berleluasa di media sosial, dikesan dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Kegiatan tersebut dikatakan dilakukan oleh mereka yang profesional dengan kadar bayaran serendah RM50 hingga ribuan ringgit, bergantung kepada kategori tugasan sama ada peringkat diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana (master) atau Doktor falsafah (PHD).

Antara perkhidmatan yang ditawarkan melakukan kajian dalam bidang kejuruteraan, pembangunan sosial, sejarah serta matematik malah tidak terkecuali bidang sains dan teknologi.

“Tanpa perlu mengulang kaji hingga lewat malam dan berpenat lelah, tapi mampu menamatkan pengajian di universiti dengan bergaya” antara ungkapan menarik yang digunakan dalam iklan untuk menarik pelajar melanggan perkhidmatan itu.

Tinjauan Bernama di laman sosial Facebook mendapati terdapat lebih 10 pautan yang menyediakan perkhidmatan tersebut dan ia ditawarkan dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.

Lebih merisaukan, pelanggan yang terdiri daripada pelajar IPT itu seolah-olah menghalalkannya dan memberi reaksi yang baik, malah ada antaranya tanpa segan silu menyatakan telah memperoleh markah sehingga 100 peratus serta bersedia mendapatkan perkhidmatan itu berulang kali.

Tindakan tatatertib terhadap plagiarisme

Maklumat itu boleh dilihat di ruangan reaksi dan dipaparkan secara terbuka di pautan berkaitan bagi mendapat kepercayaan pelanggan baharu. Tidak dinafikan ada antara ‘peniaga’ atau pihak ketiga ini, berani memberikan nombor telefon dan e-mel peribadi untuk memudahkan urusan.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Universiti Malaysia Terengganu Prof Ir Noor Azuan Abu Osman berkata pihaknya turut memandang serius perkara tersebut dan telah memberi peringatan agar ia tidak dilakukan oleh pelajar universiti itu.

Katanya, perbuatan tersebut boleh ditakrifkan sebagai suatu bentuk plagiarisme di bawah Kaedah 6(2), Kaedah-Kaedah UMT (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 2009 dan tindakan tatatertib boleh dikenakan terhadap pelajar.

“Jika cukup bukti dan sabit kesalahan, pelajar tersebut boleh dikenakan hukuman sehingga dibuang sebagai pelajar UMT. Selain itu, tugasan ataupun tesis akademik pelajar tersebut boleh dibatalkan keseluruhannya.

“Justeru, pihak pengurusan UMT ingin menasihati pelajar agar sama sekali tidak menggunakan perkhidmatan pihak ketiga ini dalam menyiapkan tugasan. Para pensyarah juga adalah dinasihati untuk menyemak dan meneliti setiap tugasan yang dihantar oleh para pelajar supaya perbuatan ini tidak menjadi amalan,” katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Terengganu hari ini.

Menurut Noor Azuan, pensyarah boleh mengesan perbuatan sedemikian dengan mengenali lenggok bahasa dan fakta, kerana pihak ketiga tidak akan menggunakan elemen yang sama sepertimana pelajar yang mengikuti kuliah.

Katanya, jika tugasan perlu dihantar menerusi kaedah dalam talian, tenaga pengajar di UMT boleh menggunakan perisian Turnitin yang boleh mengenal pasti persamaan antara kerja yang dibuat dengan bahan yang terdapat dalam internet.

‘Keberanian pihak ketiga ini’ turut menimbulkan kerisauan kalangan pensyarah dan rata-rata daripadanya menyatakan bahawa perbuatan sedemikian jika tidak disekat akan melahirkan generasi profesional yang tidak berkualiti malah ia mungkin menjadikan negara ini memiliki tenaga kerja ‘palsu’.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.