Skip to main
Logo Malaysiakini

Sri Ram jangan duduk diam saja - Bekas KP SPRM

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bekas hakim Gopal Sri Ram perlu menjelaskan mengapa pihak pendakwaan bersetuju dengan tawaran penyelesaian dalam kes pengubahan wang haram berbilion ringgit yang dihadapi Riza Aziz.

Bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad yang membuat gesaan itu berkata, ini kerana Sri Ram bertindak sebagai timbalan pendakwa raya kanan (DPP) dalam beberapa kes jenayah berkaitan 1MDB, yang antara lain melibatkan Najib Razak dan anak tirinya Riza.

Ini susulan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Riza Aziz dalam kes pengubahan wang haram setelah permohonan dibuat oleh Sri Ram.

Riza menghadapi lima tuduhan pengubahan wang haram hingga AS$248 juta (RM1.08 bilion) yang didakwa disalahgunakan daripada syarikat pelaburan negara 1MDB.

DNAA yang diberikan kepada Riza bergantung kepada sejauh mana tertuduh memenuhi perjanjiannya, termasuk mengembalikan anggaran sejumlah AS$ 107.3 juta (RM465.3 juta) kepada kerajaan Malaysia.

"Gopal Sri Ram adalah DPP yang dilantik oleh (Peguam Negara) Tommy (Thomas) untuk mengendalikan kes-kes yang melibatkan 1MDB. Oleh itu AG semestinya bertindak atas nasihat beliau.

"Jadi Gopal Sri Ram perlu jelaskan kenapa representasi Riza diterima. Jadi tiadalah ada org itu ‘tertanya’ atau ‘keliru’. Jangan duduk diam saja,” ciap Dzulkifli di Twitter Ahad lalu.

Sri Ram, pesara hakim Mahkamah Persekutuan, dilantik oleh peguam negara pada bulan Ogos 2018 untuk menerajui pendakwaan dalam kes 1MDB.

Riza, produser filem The Wolf of Wall Street dan Dumb and Dumber To didakwa pada bulan Julai tahun lalu kerana dituduh menerima wang berkenaan sebanyak lima kali antara tahun 2011 dan 2012 melalui akaun bank Red Granite, syarikat produksi Hollywood yang diasaskan bersamanya itu.

Surat representasi oleh peguam Riza pertama kali dihantar kepada pihak pendakwaan pada 18 November 2019.

Thomas berulang kali menafikan bersetuju untuk menyelesaikan kes itu dengan tertuduh.

Walaupun demikian, peguam negara yang baru, Idrus Harun berkata beliau hanya meneruskan proses tawar-menawar itu, selepas diberitahu pendahulunya telah bersetuju "secara prinsip" mengenai penyelesaian kes dengan Riza.

Bagaimanapun, ketika dihubungi oleh Malaysiakini pada Ahad, Sri Ram enggan memberikan komennya, berkata: "AG telah bercakap dan beliau mempunyai kata terakhir mengenai perkara itu. Bagi pihak kami, kami tidak dapat memberikan komen lagi."

[Baca berita penuh]