Skip to main
Logo Malaysiakini

Akmal: PH perlu kuatkan strategi parti masing-masing

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

WAWANCARA |  Susulan keruntuhan Pakatan Harapan (PH) melalui “Langkah Sheraton,” Ketua Pemuda PKR (AMK) Akmal Nasir berkata parti politik dalam gabungan itu perlu diperkukuhkan semula demi menghadapi pilihan raya akan datang.

Menurut anggota parlimen Johor Bahru itu, ia mungkin suatu yang sukar bagi PH dari segi komunikasi dengan rakyat kerana tidak menggunakan elemen perkauman dan agama seperti Umno dan PAS.

“Pandangan saya sebenarnya Pakatan (PH) sepatutnya kuatkan balik gabungan ini, parti dalam Pakatan Harapan pun sepatutnya kuatkan balik parti masing-masing.

“Bukan saja Keadilan (PKR).. anda sendiri tahu apa jadi lepas kumpulan kartel meninggalkan (parti),” katanya yang merujuk kepada kumpulan yang memihak kepada bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali melalui Langkah Sheraton pada Februrari lalu.

Ketika ditemubual oleh Malaysiakini di pejabatnya di Johor Bahru pada Jumaat 15 Mei lalu, Akmal menjangkakan sekiranya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang kini bergabung bersama pemimpin Umno dan PAS terus mentadbir negara, keadaan akan bertambah teruk.

Beliau berkata PH mungkin mempunyai ideologi dan pendirian yang terbaik tetapi gabungan itu masih mempunyai ruang untuk memperbaiki apa yang patut.

“Jadi apa kritikan terhadap kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini perlu diambil secara positif untuk ditambah baik kedudukan kita.

“Jadi dalam keadaan sekarang, saya lihat kalau berlaku sebarang move (usul) dalam parlimen ataupun berlaku dalam pertukaran kerajaan itu, saya rasa ianya boleh berlaku dengan beberapa syarat iaitu Pakatan Harapan kekal sebagai satu konsensus,” katanya.

Untuk rekod, selepas menang PRU14, PH hanya sempat mentadbir kerajaan selama 22 bulan sebelum runtuh pada hujung Februari lalu. 

Ini selepas Muhyiddin Yassin membawa Bersatu keluar dari gabungan itu dan bergabung bersama sekumpulan MP PKR yang berpaling tadah diketuai oleh bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Bersama-sama pembangkang PAS, Umno, GPS dan parti kecil lain mereka menubuhkan kerajaan persekutuan PN.

Penjelasan ekonomi tak semudah canang isu kaum

Apabila ditanya mengenai Umno dan PAS sering menggunakan elemen perkauman, kata Akmal percaturan politik sedemikian tidak sihat untuk PH.

“Ia merupakan satu cabaran untuk PH.

“Saya percaya bahawa isu sentimen (perkauman) dan agama tak boleh dipatahkan dengan sentimen agama dan bangsa lagi kerana anda akan wujudkan situasi yang lebih buruk - siapa lagi Melayu, siapa lagi Islam.

“Pertembungan itu akan lebih dahsyat,” katanya.

Bagaimanapun, kata Akmal lagi, PKR perlu kekal menyuarakan soal ekonomi dan nasib rakyat biasa.

Jelasnya, ini walaupun menyedarkan isu-isu ekonomi kepada rakyat tidak semudah mencanangkan politik perkauman.

Mengulas pemerintahan PN dalam tempoh dua bulan ini dan PH yang mentadbir sekitar 22 bulan, Akmal menyifatkan rata-rata pemimpin PH tidak gelojoh berbanding dengan pemimpin PN dari segi menyandang kuasa dan jawatan.

“Mungkin cuma dari segi komunikasi dari segi pembawaan naratif itu tak sampai kepada rakyat di bawah sebab sentimen tu (perkauman) mudah melekat.

“Untuk menerangkan isu ekonomi memerlukan sepuluh langkah, untuk menerangkan isu sentimen satu langkah,” katanya.

Beliau memberi contoh dalam situasi kini di mana negara dan dunia menghadapi keadaan ekonomi yang mencabar akibat dampak buruk wabak Covid-19.

“Saya tahu (dalam) PN, Umno, PAS, Bersatu tiada yang layak pegang portfolio menteri kewangan.

“Mereka tahu itu. Jadi mereka bawa masuk (orang yang kononnya) profesional Tengku Zafrul (Tengku Abdul Aziz) sebagai menteri kewangan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, Tengku Zafrul mungkin tidak faham realiti politik keadaan hidup sebenar yang dihadapi rakyat.

Akmal memberi memberi contoh langkah penangguhan bayar hutang pinjaman bank yang tidak konsisten sebelum ini sehingga mengundang kemarahan rakyat, serta keluhan usahawan kecil dan rakyat bawahan mengenai keadaan ekonomi semasa.

Kekalkan kerusi bekas MP PKR dalam PN 

Mengulas lanjut mengenai keperluan PH menguatkan strateginya, Akmal berkata beliau yakin PH mampu memenangi kerusi yang ahli parlimennya kini beralih kepada PN kerana perubahan kerajaan hari ini berlaku tanpa melalui mandat rakyat.

Beliau memberi contoh kerusi PKR seperti Indera Mahkota (Saifuddin Abdullah), Ampang (Zuraida Kamaruddin), Gombak (Azmin) dan Segamat (Edmund Santhara) yang mana anggota parlimennya telah menyertai kerajaan PN.

“Ini adalah kerusi yang dimenangi oleh Keadilan (PKR) sebelum ini kerana dukungan rakyat dan juga dari segi komposisi itu melambangkan Keadilan walaupun kita tahu elemen perkauman dan agama ini makin hebat dimainkan oleh Umno dan PAS.

“Pada masa yang sama, tanggungjawab kepada parti Keadilan (PKR) ini, kena menang balik kerusi-kerusi yang kita dah menang sebelum ini - kita tidak hilang kerusi itu daripada rakyat, kita kehilangannya kerana ahli parlimen kerusi tersebut tinggalkan keadilan,” katanya.