Skip to main
Logo Malaysiakini

Dua bekas Adun PKR di Kedah dijangka dilantik sebagai exco

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dua bekas Adun PKR di Kedah yang menzahirkan sokongan mereka kepada Perikatan Nasional dijangka dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar Muhammad Sanusi Mohd Nor.

Menurut sumber, wakil rakyat Lunas, Azman Nasrudin berkemungkinan memegang portfolio pertanian dan industri asas tani, pengangkutan dan pembangunan insan negeri.

Dia memegang portfolio itu sejak 2018 ketika Pakatan Harapan merampas Kedah dari BN pada pilihan raya ke-14 (PRU14).

"Namun, Azman akan mendapat portfolio tambahan - urusan masyarakat India," kata sumber tersebut.

Sementara itu, Adun Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee dijangka memegang portfolio perumahan, persekitaran dan urusan masyarakat Cina, Siam.

Kedua-dua mereka telah mengisytiharkan diri masing-masing sebagai Adun Bebas yang menyokong kepimpian Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Mereka berpaling tadah dari PKR minggu lalu dan bergabung dengan empat Adun Bersatu lain yang menyokong Muhyiddin, sehingga menyaksikan kerajaan negeri pimpinan menteri besar ketika itu, Mukhriz Mahathir tumbang.

Sanusi yang merupakan Adun Jeneri, mengangkat sumpah pada Ahad lalu setelah 23 Adun menandatangani pernyataan berkanun untuk mengatakan bahawa mereka telah kehilangan kepercayaan ke atas Mukhriz.

Difahamkan, barisan exco kerajaan negeri akan dianggotai oleh 11 anggota yang merangkumi PAS (empat), Bersatu (tiga), Bebas (dua) dan Umno (satu).

Mereka dijangka dilantik di Wisma Darul Aman, Alor Setar, esok.

Exco lain yang dijangka berada dalam senarai itu termasuk:

• Muhammad Sanusi Md Nor (PAS) - menteri besar dan ketua perancangan ekonomi negeri, urusan tanah negeri, hasil tanah, majlistindakan negeri dan syarikat-syarikat berkaitan dengan kerajaan.

• Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Bersatu) - industri dan pelaburan, tenaga dan pendidikan tinggi.

• Dr Mohd Hayati Othman (PAS) - kesihatan dan kerajaan tempatan.

• Suraya Yaacob (Umno) - bekalan air dan sumber, dan kerja-kerja awam.

• Halimanton Shaadiah Saad (Bersatu) - pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, dan kesejahteraan.

• Siti Ashah Ghazali (PAS) - pembangunan luar bandar dan manusia, pembasmian kemiskinan.

• Najmi Ahmad (PAS) - agama dan pendidikan.

• Wan Romani Wan Salim (PAS) - maklumat, komunikasi dan multimedia, sumber manusia.

• Mohd Firdaus Ahmad (Bersatu) - pelancongan, seni dan budaya, belia dan sukan, pembangunan keusahawanan.