Skip to main
Logo Malaysiakini

Hari 36: Riza Aziz sedia beri keterangan dalam perbicaraan 1MDB Najib

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

LANGSUNG | Selepas penangguhan demi penangguhan, terutamanya ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP),  perbicaraan kes bekas perdana menteri Najib Razak bersambung semula tengah hari ini.

Najib dituduh menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Malaysiakini  membawakan laporan langsung prosiding kes ini.


4.37 petang: Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan pasukan pembelaan untuk menangguhkan prosiding 1MDB berhubung RM2.28 bilion pada hari Jumaat minggu ini.

Peguam pembelaan utama Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa ini kerana beliau harus menghadiri urusan mahkamah berasingan di Shah Alam pada hari berkenaan.

Shafee merujuk kepada perbicaraan berhubung kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan.

Prosiding kemudian ditangguhkan untuk hari ini dan akan disambung sekitar jam 9.30 pagi esok.


Minit mesyuarat 1MDB 'mesti lindungi PM' - Bekas CEO

3.45 petang: Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa lembaga pengarah syarikat itu dimaklumkan untuk berhati-hati dalam merekodkan mesyuarat mereka agar tidak membahayakan perdana menteri ketika itu.

Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberi keterangan bahawa mereka diingatkan supaya 'berhati-hati' mengenai apa yang mereka rekodkan ketika mesyuarat lembaga pengarah.

"Sekiranya saya boleh (sebutkan), sepanjang tempoh saya berkhidmat dari 2009 hingga 2013, ahli-ahli lembaga pengarah dan saya tertakhluk di bawah perjanjian yang luas ini bahawa kami mesti berhati-hati dengan apa yang kami buat, jika tidak, kami akan menentang pemegang saham utama , Datuk Seri Najib," katanya kepada mahkamah.

Shahrol berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah.

Ini berlaku ketika pihak pembelaan menyoal Shahrol mengenai mesyuarat pada bulan Julai 2010. Shahrol didakwa gagal memberikan gambaran yang jelas berhubung mesyuarat tersebut mengenai mengapa juruaudit 1MDB Ernst dan Young telah menangguhkan untuk menandatangani laporan auditnya terhadap syarikat berkenaan ketika itu.

Untuk konteks, Ernst dan Young dikatakan enggan menandatangani penyata kewangan 1MDB yang diauditnya kerana tidak berpuas hati tentang bagaimana penilaian aset syarikat kongsi yang dimiliki 1MDB dan Petrosaudi telah dibuat.

"Ia tidak diminitkan, tapi ya saya berkeras, dan ya itu dibincangkan. Ada alasan yang bagus.

"Ungkapan tersebut adalah 'mesti lindungi PM," kata Shahrol.

Menurut saksi itu, mereka diarahkan untuk tidak memberikan 'peluru' tambahan untuk serangan politik dilancarkan, maka mereka diminta supaya waspada terhadap apa yang direkod ketika mesyuarat.


1MDB ganti juruaudit kerana tak setuju penilaian aset syarikat kongsi

3.20 petang: Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberi keterangan 1MDB memutuskan untuk memendekkan kontrak perkhidmatan daripada juruaudit Ernst and Young kerana perselisihan mengenai cara menilai aset syarikat kongsi ang dimiliki 1MDB dengan Petrosaudi.

Saksi pendakwaan berkata ada cadangan untuk menggantikan juruaudit Ernst and Young dengan firma audit lain, KPMG.

Bagaimanapun, Shahrol berkata dia tidak dapat mengingat siapa yang melontarkan idea supaya 1MDB melibatkan KPMG, tetapi tidak menolak kemungkinan ini datang daripada milik Jho Low.


Shafee sambung pemeriksaan balas terhadap bekas CEO 1MDB

3.07 petang:  Peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah menyambung pemeriksaan balas terhadap bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi.


3.00 petang - Prosiding bersambung selepas berehat sebentar.


2.40 petang - Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan pembelaan untuk berehat seketika.

Peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah pihak pembelaan perlu mendapatkan beberapa dokumen untuk perbicaraan.


Sri Ram, Shafee mohon lebih ramai peguam di mahkamah

2.35 petang: Ketua DPP Gopal Sri Ram dan peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah meminta supaya lebih banyak peguam dibenarkan di mahkamah.

Ini, jelas mereka agar pasukan pendakwaan dan pembelaan dapat berfungsi dengan baik ketika perbicaraan.

Bagaimanapun, Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata buat masa ini beliau hanya boleh mengizinkan seorang sahaja lagi peguam daripada setiap pasukan memandangkan keadaan wabak Covid-19.

Difahamkan, ketika ini, hanya peguam utama bagi setiap pasukan dan dua peguam lain yang dibenarkan berada di ruang mahkamah pada satu-satu masa.

Shafee turut menyarankan kepada mahkamah agar wartawan dan peguam pemerhati perbicaraan untuk dipindahkan ke bilik mahkamah lain, di mana mereka dapat menyaksikan prosiding melalui siaran langsung.

"(Mereka) boleh berada di sebelah. Keutamaan mesti diberikan kepada peguam," kata Shafee.

Terdahulu, Sri Ram juga memberikan hujah yang sama, berkata pendakwaan memerlukan lebih banyak anggota pasukannya di dalam bilik mahkamah untuk memastikan kelancaran operasi.

Mahkamah kemudian berehat sebentar kerana Shafee ingin mengatur anggota pasukannya untuk membantunya dalam pemeriksaan balas terhadap bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi.


Riza Aziz sedia tampil beri keterangan

2.20 petang: Riza Aziz sedia tampil memberi keterangan pada perbicaraan kes Najib Razak yang dituduh salah guna RM2.28 bilion dana 1MDB.

Oleh yang demikian pihak pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa mereka akan mengemukakan permohonan untuk menambah Riza ke dalam daftar saksi 

DPP Gopal Sri Ram memaklumkan hal tersebut kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah.

"(Pendakwaan ingin menambahkan) Riza Aziz ke dalam daftar saksi dan dia sudah bersedia untuk memberikan keterangan kepada pihak pendakwaan.

"Kami akan memfailkan permohonan rasmi," kata Sri Ram.

Baru-baru ini, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Riza Aziz dalam kes pengubahan wang haram.

Riza menghadapi lima tuduhan pengubahan wang haram hingga AS$248 juta (RM1.08 bilion) yang didakwa disalahgunakan daripada syarikat pelaburan negara 1MDB.

DNAA yang diberikan kepada Riza bergantung kepada sejauh mana tertuduh memenuhi perjanjiannya, termasuk mengembalikan anggaran sejumlah AS$ 107.3 juta (RM465.3 juta) kepada kerajaan Malaysia.


Pendakwaan akan fail prosiding hina mahkamah terhadap Najib susulan artikel

2.16 petang - DPP Gopal Sri Ram memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan akan memfailkan prosiding menghina terhadap Najib Razak berhubung satu artikel.

Sri Ram berkata artikel yang memetik Najib itu mengandungi tuduhan sangat serius bahawa perbicaraan kes RM2.28 bilion yang sedang berjalan ini sebagai tidak adil.

Pada 4 Mac lalu, Reuters melaporkan Najib berkata beliau berharap akan muncul suasana yang lebih kondusif untuk mendapat perbicaraan yang adil dengan perubahan pemerintahan daripada PH kepada PN.

Bagaimanapun Shafee meminta pendakwaan menimbang semula hasrat itu.

Beliau berkata, selepas berbincang dengan Najib, anak guamnya itu berkata artikel Reuters bukan untuk membayangkan mahkamah ketika itu bertindak tidak adil dalam prosiding 1MDB.


Najib masuk ke kandang tertuduh

2.15 petang:  Prosiding kes 1MDB bermula, Najib Razak masuk ke kandang tertuduh.


Najib tiba di mahkamah

1.58 tengah hari: Bekas perdana menteri Najib Razak masuk ke bilik mahkamah dan mengambil tempat di galeri awam menunggu prosiding bermula.


Shafee masuk ke bilik mahkamah

1.56 tengah hari: Peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah memasuki bilik Mahkamah Tinggi, menyertai pasukan pembelaan Najib.


Media, DPP ambil tempat di bilik mahkamah

1.30 tengah hari: Petugas media mula memasuki ruang bilik mahkamah dan duduk dibangku yang telah disusun semula selaras panduan SOP pencegahan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan.

DPP Ahmad Akram Gharib juga dilihat di bilik mahkamah untuk menetapkan tempat duduk buat pendakwa raya utama Gopal Sri Ram dan anggota pasukan pendakwaan lain.

Sementara itu, pihak pengurusan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur juga telah membuka dua bilik bagi siaran langsung video untuk wartawan memantau perbicaraan.


Perbicaraan kes Najib ini melibatkan 21 pertuduhan pengubahan wang haram dan empat tuduhan salah guna kuasa, membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB, dijadual bersambung jam 2 petang ini, di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Prosiding dijangkakan bersambung dengan pihak pembelaan yang diketuai peguam veteran Muhammad Shafee Abdullah, dijangka meneruskan pemeriksaan balas terhadap saksi ke-9 pendakwaan, yang juga bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Kali terakhir Shahrol memberikan keterangan lisan semasa pemeriksaan balas adalah pada 11 November tahun lepas.

Bagaimanapun, sejak itu perbicaraan beberapa kali ditangguh dan prosiding tidak dapat diteruskan sehinggalah ke tengah hari ini.

Antara alasan bagi penangguhan tersebut adalah Shahrol dan Shafee cuti sakit; Shafee perlu membuat persiapan untuk majlis perkahwinan anaknya; Shafee dan pasukan pembelaan yang lain perlu menjalani kuarantin diri sendiri, berkaitan wabak Covid-19; penguatkuasaan PKP bermula 18 Mac; serta Najib perlu menghadiri sidang parlimen satu hari pada 18 Mei, iaitu semalam.

Mahkamah di seluruh negara menangguhkan semua perbicaraan dan pendengaran kes ekoran penguatkuasan PKP sejak 18 Mac, sebagai sebahagian usaha bagi membendung wabak Covid-19.

Mahkamah hanya mula menyambung semula operasi secara berperingkat, bermula 13 Mei minggu lalu apabila kerajaan melonggarkan kawalan pergerakan bagi membolehkan sektor ekonomi kembali beroperasi secara perlahan-lahan, di bawah perintah kawalan pegerakan bersyarat (PKPB).

Kes itu turut ditangguh sebelum ini kerana perbicaraan jenayah lain membabitkan Najib, seperti kes SRC International RM42 juta dan kes laporan audit 1MDB yang berlaku antara lewat tahun lepas sehingga awal tahun ini.