Majoriti pemimpin Bersatu kata keputusan keluar PH jelas
Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu menegaskan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN), dan berkata langkah untuk meninggalkan PH dan membentuk gabungan baru memang telah diputuskan.
Dalam satu kenyataan bersama, 27 anggota MPT dan pengerusi negeri berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat MPT pada 23 Februari lalu.
"Kami ingin menegaskan bahawa MPT Bersatu dalam mesyuaratnya pada 23 Februari telah membuat keputusan Bersatu keluar daripada PH dan membentuk sebuah gabungan politik baru dengan parti-parti lain di luar PH.
"Keputusan ini adalah jelas dan tidak perlu dipertikaikan," menurut kenyataan bersama itu.
Kenyataan itu sehari selepas Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad menegaskan parti itu masih bersama PH.
Dalam satu sidang media di Putrajaya, Muhyiddin membuat keputusan untuk membawa parti itu keluar tanpa kelulusan MPT.
Dalam pada itu, kenyataan itu berkata Bersatu setuju menyertai PN demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan politik negara.
"Kami juga menyokong sepenuhnya penubuhan PN sebagai sebuah gabungan parti-parti politik dengan matlamat dan tujuan yang terkandung dalam memorandum persefahaman PN.
"Kami juga ingin menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan PN di bawah kepimpinan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin," kata mereka lagi.
Antara pemimpin Bersatu yang mengeluarkan kenyataan bersama itu ialah naib presiden Abdul Rashid Abdul Rahman, naib presiden dan pengerusi Selangor Abdul Rashid Asari, ketua wanita Rina Harun, setiausaha agung Hamzah Zainuddin dan ketua penerangan Radzi Jidin.
Antara pemimpin Bersatu yang tiada dalam senarai itu ialah pengerusi Dr Mahathir Mohamad, serta anggota MPT iaitu Kadir Jasin, Tariq Ismail, Maszlee Malik dan ketua pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Berikut adalah kenyataan penuh:
Ketika dihubungi, Marzuki Yahya yang adalah setiausaha Bersatu sebelum dipecat oleh Muhyiddin pada 18 Mac lalu berkata bahawa sebarang kenyataan media tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan berhubung pendirian parti.
"Kenyataan media tidak mempunyai kuasa mengikat parti. Kenyataan yang dibuat tidak diputuskan dan dipersetujui di dalam mana-mana mesyuarat MPT," katanya kepada Malaysiakini.
Menurutnya, majlis mesyuarat pada 23 Februari telah memberi kuasa kepada Dr Mahathir untuk membuat keputusan untuk keluar daripada PH.
"Keputusan parti menyerah kepada Tun M untuk membuat keputusan untuk keluar PH.
"Dan mengikut mesyuarat 23 Feb, parti juga tidak pernah bersetuju menyertai Perikatan Nasional dan mengadakan rundingan dengan Umno dan PAS.
"Walau 100 kenyataan dikeluarkan tidak akan mengubah keputusan parti. Apa jua keputusan mesyuarat adalah muktamad. Kenyataan saya pada tengah malam 24 Feb sangat jelas," katanya.
Beliau turut menjelaskan kenyataan Bersatu keluar dari PH dalam satu sidang media, pada 24 Feb merujuk kepada kenyataan Muhyiddin.
"Berhubung kenyataan keluar PH pada 23 Feb, saya maklum cuma merujuk kenyataan Presiden (Muhyiddin Yassin) pada petang tersebut," katanya lagi.
Muhyiddin pada 18 Mac turut melantik Hamzah Zainuddin sebagai penggantin Marzuki. Mahathir bagaimanapun berkata tindakan itu tidak mengikut peraturan parti, maka ia terbatal dan tidak sah.
Bersatu kini menghadapi isu dalaman selepas kedua-dua pengerusi dan presidennya tidak sehaluan dalam menyokong kerajaan PN.
Laporan tambahan oleh B Nantha Kumar.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai