Skip to main
Logo Malaysiakini

DPMM: Lebih 95% PKS hanya mampu bertahan hingga akhir Mei

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Lebih 95 peratus Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan berdepan kekangan kelangsungan perniagaan dan dijangka hanya mampu meneruskan perniagaan sehingga akhir Mei ini.

Menurut kajian yang dikendalikan oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) - melibatkan 1,000 ahli PKS bumiputera bermula 4 April - kelangsungan perniagaan tersebut masih tidak dapat bertahan meskipun dengan Bantuan Skim Upah yang diberikan kerajaan.

“[...] Bulan Mei adalah kritikal buat semua ahli PKS.

“Kerajaan memang berikan bantuan sehingga Jun, tetapi realiti (kelangsungan) perniagaan buat PKS adalah pada penghujung (Mei) dan ini harus diteliti oleh semua pihak,” kata Naib Presiden DPMM, Amirhamzah Karim.

Beliau ditemui pada sidang media perbincangan nasib pengusaha Melayu yang terkesan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) di Kuala Lumpur hari ini.

Pada 1 Mei lalu, Kementerian Kewangan mensasarkan sebanyak 700,000 ahli PKS mikro - yang mempunyai jumlah perolehan tahunan antara RM5,000 hingga RM300,000 - akan menerima manfaat daripada Geran Khas Prihatin (GKP) yang berjumlah RM2.1 bilion.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, GPK adalah bantuan kewangan secara sekali berjumlah RM3,000 kepada setiap PKS mikro berkelayakan yang akan dapat membantu meringankan beban mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Beri akses mudah

Sementara itu, kajian DPMM juga menjelaskan bahawa sejumlah 72.3 peratus ahli PKS mahukan akses lebih mudah dan cepat dalam pembiayaan kerajaan dan mencadangkan sebahagian dana tersebut diuruskan oleh badan perniagaan dan bukan melalui perbankan.

Presiden DPMM menambah bahawa pihaknya dapat menghulurkan bantuan jika perkara tersebut dipertimbangkan oleh kerajaan.

“[...] Kerana bank kita tahu ada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan dalam keadaan gawat seperti ini semua sektor ekonomi kecuali perubatan dan kesihatan amat terkesan.

“Oleh sebab demikian, responden rasa sebahagian dana perlu disalurkan oleh badan yang tidak terlibat dalam perbankan seperti DPMM juga pernah terlibat dalam pembiayaan dalam tabung pemulihan usahawan bumiputera sebanyak RM500 juta.

“Kami yakin dengan pengalaman ada sebelum ini dan rakan ahli yang ada pakar dalam pembiayaan, kita dapat mengendalikan dana diperuntukkan kerajaan kepada kami untuk bantu usahawan PKS Melayu,” kata Abdul Halim.

Jelasnya, pihak DPMM juga menggesa kerajaan supaya menambah dana di bawah Kemudahan Bantuan Khas (SRF) sehingga RM50 billion.

“Kami harap kerajaan tambah dana di bawah SRF sehingga RM50 billion kerana sekarang RM10 billion sudah beri manfaat kepada 20 ribu ahli PKS.

“Kalau lagi RM50 billion dapat dimasukkan dalam pasaran, mungkin dapat menyelamatkan lebih ramai ahli PKS (bumiputera) di mana mungkin kadar minima untuk dapat jumpstart ekonomi balik,” katanya.

Sebelum ini, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Nor Shamsiah Mohd Yunus telah menjelaskan bahawa lebih 20,000 permohonan SRF diluluskan oleh institusi kewangan dengan nilai RM10 bilion setakat 4 Mei 2020.

Beliau berkata, sejak SRF disediakan pada 6 Mac lalu, institusi kewangan bersama-sama BNM telah melaksanakan bantuan berkenaan dengan segera bagi memastikan PKS memperoleh manfaat dengan cepat.

Selain itu, DPMM juga hari ini telah melancarkan “biro aduan pengusahaniaga” bagi bertujuan menerima aduan dari PKS dan berusaha untuk membantu pihak tersebut.

Pihak PKS boleh mengadu menerusi emel [email protected] atau menghubungi 0326332233.