Skip to main
Logo Malaysiakini

KKM akan saring tahanan imigresen sebelum PKP

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Susulan laporan berita mengenai lima warganegara Myanmar positif Covid-19 setelah dihantar pulang dari Malaysia baru-baru ini, Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati bahawa salah seorang daripada mereka ditahan sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP).

Sejak penemuan itu, kementerian kini akan menyaring semua tahanan yang ditangkap sebelum 18 Mac.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan hari ini bahawa semua warganegara asing yang ditahan selepas 18 Mac telah menjalani pemeriksaan untuk Covid-19.

"Sekarang kami berusaha sebaik mungkin untuk menyaring 437 yang ditahan sebelum PKP. Ini adalah kes sebelum PKP dan kami belum memeriksa semua orang di sana.

"Jadi inisiatif kami sekarang (adalah) kerana satu kes positif, kami akan menyaring 437 yang lain," katanya ketika ditanya mengenai perkara itu semasa sidang media harian di Putrajaya petang tadi.

Beliau tidak mendedahkan maklumat mengenai empat warganegara Myanmar yang dinyatakan positif virus itu setelah pulang dari pusat tahanan imigresen Malaysia.

Noor Hisham berkongsi bahawa terdapat 1,437 tahanan di pusat tahanan Imigresen Kuala Lumpur - 1,000 daripadanya ditahan semasa PKP dan 437 ditahan sebelum PKP.

Beliau berkata 437 tahanan itu diasingkan sebelum PKP mula berkuat kuasa 18 Mac lalu.

Jabatan Imigresen telah melakukan beberapa serbuan ke atas imigran tanpa dokumen sejak PKP bermula, yang menyasarkan kawasan PKP diperketatkan seperti Selayang, Masjid India, Menara City One dan Chow Kit.

Akhbar Myanmar The Irrawaddy sebelum ini melaporkan seramai 391 warga negara itu yang tiada dokumen perjalanan telah dihantar pulang dari Malaysia, dengan menaiki dua pesawat pada 11 Mei.

Daripada jumlah itu, lima disahkan positif Covid-19 dan telah dikuarantin.

Angka itu meningkat kepada lapan orang hari ini.

Setakat ini Myanmar merekodkan sejumlah 191 kes Covid-19 dengan enam kematian.