Skip to main
Logo Malaysiakini

Perodua kembali operasi penuh seluruh negara

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) secara rasminya membuka semula operasinya di 182 pusat jualan, 202 pusat servis dan 68 premis pulih badan serta semburan cat di seluruh negara selepas ditutup dua bulan berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Presiden merangkap Ktua Pegawai Eksekutif Perodua Zainal Abidin Ahmad berkata syarikat itu telah menyediakan langkah perlindungan sewajarnya di semua cawangan di seluruh negara bagi memastikan keselamatan pelanggan dan pekerja dilindungi di tengah-tengah penularan pandemik Covid-19.

“Pengeluaran di Sungai Choh sebahagiannya telah bermula sejak 11 Mei dan kini beroperasi sepenuhnya. Kami berharap dapat memenuhi permintaan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainal berkata cawangan Perodua telah memulakan semula operasinya secara berperingkat mulai 12 Mei dan syarikat itu bekerja keras bagi memastikan semua langkah kesihatan dan keselamatan sewajarnya dapat dilaksanakan.

“Kami berterima kasih kepada para pelanggan di atas kesabaran dan kesetiaan mereka. Kami akan memastikan keperluan kenderaan anda dipenuhi secara selamat dan secepat mungkin,” katanya.

Pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan servis kenderaan perlu membuat janji temu terlebih dahulu di pusat servis pilihan dan syarikat tidak akan menerima pelanggan yang tidak berbuat demikian bagi mengelakkan kesesakan.

Kesemua pelanggan mesti menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis, mendaftar butiran diri dan mematuhi tanda penjarakan sosial di cawangan tersebut pada sepanjang masa.

Cecair pembersih tangan akan disediakan di lokasi utama, manakala cawangan itu pula disanitasi secara berkala.

-Bernama