Skip to main
Logo Malaysiakini

SOP tempat ibadat bukan Islam diumum esok

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Khamis akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) yang akan membolehkan pembukaan semula tempat-tempat ibadat bukan Islam, kata Malaysia Hindu Sangam.

Dalam satu kenyataan, Presiden Malaysia Hindu Sangam, RS Mohan Shan berkat, ia hasil daripada pertemuan dengan jawatankuasa bertindak perintah kawalan pergerakan bersyarat MKN pagi semalam.

Beliau berkata pengumuman sepatutnya dibuat semalam, tetapi ditangguhkan sehingga Khamis.

"Dalam pertemuan ini, MKN telah memutuskan bahawa tempat-tempat ibadat tidak akan dibenarkan dibuka setiap hari untuk orang awam tetapi hanya untuk yang penting satu atau dua hari dalam seminggu dengan sembahyang dan  bilangan penganut dihadkan.

"SOP cadangan Kementerian Perpaduan akan terus dikaji dan keputusan akan dibuat pada hari Khamis. Keputusan di atas juga akan terpakai kepada semua kuil Hindu di seluruh negara.

"Malaysia Hindu Sangam dengan rendah diri menyeru kepada semua kuil kekal ditutup sehingga keputusan dibuat dan pengumuman selanjutnya dibuat oleh MKN, dengan mengambil kira keadaan semasa Covid-19 di negara ini," katanya semalam.

Pada masa ini, hanya tempat-tempat ibadat Islam dibenarkan untuk dibuka di beberapa negeri,namun tertakluk kepada prosedur yang ketat bagi mengurangkan risiko penyebaran Covid-19.

Antara lain, bilangan jemaah ketika solat Jumaat tidak boleh melebihi 30 orang, dan hanya mereka yang terpilih akan dijemput oleh masjid atau jawatankuasa surau.