Skip to main
Logo Malaysiakini

Hari ke-37: Saya dijadikan kambing hitam dalam skandal 1MDB - Shahrol

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

LANGSUNG | Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dakwaan salahguna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan dana 1MDB memasuki hari ke- 37 hari ini.

Malaysiakini membawakan laporan secara langsung prosiding dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.


12.21 tengah hari: Prosiding ditangguhkan hari ini dan akan disambung semula sekitar jam 9.30 pagi esok.

Ini kerana pihak pembelaan dan pendakwaan memohon untuk bertemu Hakim Besar Malaya, Azahar Mohamed.

Ini berhubung permintaan mereka untuk mendapatkan beberapa kelonggaran agar lebih ramai peguam dan DPP dibenarkan masuk ke Mahkamah Tinggi bagi menghadiri perbicaraan Najib Razak.

Pada masa ini, penjarakan sosial dikuatkuasakan ketika prosiding mahkamah, yang mengehadkan bilangan individu yang dibenarkan hadir di mahkamah.


Saya tidak tahu sama ada Najib diberitahu mengenai hubungan Ong dan Larry Low - Saksi

12 tengah hari: Prosiding menyaksikan peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah menyoroti serangkaian dokumen perniagaan kepada seorang saksi, dalam usaha menunjukkan bahawa bekas pengarah 1MDB, Ong Gim Huat mempunyai hubungan dengan ayah Jho Low, Larry Low.

Ini termasuk hubungan perniagaan mereka melalui syarikat Kim Mansions Sdn Bhd, di mana Ong dan Larry adalah pemegang sahamnya.

Saksi pendakwaan Shahrol Azral Ibrahim Halmi, yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, kemudian memberitahu mahkamah bahawa dengan semua fakta yang dikemukakan di hadapannya di mahkamah, telah terbukti bahawa ada hubungan perniagaan antara keduanya.

Oleh itu, beliau memberi keterangan, adalah wajar untuk mengetengahkan perkara itu kepada Najib Razak sebagai pemegang saham 1MDB jika ini diketahui sebelum pelantikan Ong sebagai pengarah bebas 1MDB pada tahun 2010.

"Sekarang, dengan semua fakta ini, ya memang terbukti ada hubungan perniagaan antara ayah Jho low dan Ong. Oleh itu, ia patut diketengahkan kepada pemegang saham, dan menjadi hak prerogatif Najib sama ada untuk melantik atau tidak," katanya .

Bagaimanapun, Shahrol mendakwa beliau tidak mempunyai pengetahuan sekiranya Najib diberitahu mengenai hubungan itu.


Lembaga 1MDB tak semak latar belakang pengarah dikaitkan Jho Low

11.18 pagi: Lembaga 1MDB tidak menyemak latar belakang pengarah yang dikaitkan dengan Jho Low kerana pada masa itu Najib diberi kuasa untuk membuat pelantikan, kata Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB itu ketika memberi keterangan semasa pemeriksaan balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah berkata, lembaga itu tidak melakukan pemeriksaan latar belakang ke atas Ong Gim Huat.

Ong adalah rakan dan rakan kongsi perniagaan kepada Larry Low Hock Peng, iaitu bapa Jho Low.

"Saya tidak melakukan pemeriksaan latar belakang kerana Datuk Seri (Najib) mahu dia dalam lembaga pengarah," kata Shahrol.

Apabila Shafee berkata Najib tidak boleh diharapkan untuk mempunyai maklumat latar belakang Ong sebelum Ong dilantik sebagai Pengarah 1MDB, Shahrol menjawab Najib diberi kuasa oleh Artikel Pertubuhan 1MDB untuk membuat pelantikan itu.

"Itu tidak berlaku (pemeriksaan latar belakang oleh lembaga 1MDB terhadap Ong) kerana artikel (pertubuhan) berkata, beliau dilantik oleh PM (ketika itu Perdana Menteri Najib) dan itulah, kami tidak melakukan usaha yang wajar atau semak latar belakangnya , "kata Shahrol.


Shahrol: Saya dijadikan kambing hitam dalam skandal 1MDB

11.15 pagi: Shahrol Azral Ibrahim Halmi, yang pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB antara tahun 2009 sehingga 2013, mendakwa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menjadikannya kambing hitam dalam siasatan mereka mengenai usaha sama syarikat itu dengan Petrosaudi.

Saksi pendakwaan itu mengatakan perkara ini semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah.

Ini berlaku ketika Shafee membaca penemuan PAC pada tahun 2016, yang menyatakan bahawa Shahrol perlu bertanggung jawab atas kelemahan dan kesalahan syarikat.

Shahrol: Mereka menggambarkan saya untuk menjadi kambing hitam.

Shafee: Mereka mengatakan bahawa kamu bertanggungjawab atas kesalahan ini. Tafsiran kamu adalah bahawa kamu dijadikan kambing hitam?

Shahrol: Ya.


Bekas CEO 1MDB nafi terlibat konspirasi dengan Jho Low

11.10 pagi: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi tidak bersetuju apabila dikatakan beliau enggan menyediakan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dengan dokumen berkaitan usaha sama syarikat itu dengan Petrosaudi kerana dia bimbang mereka akan melihat kecurangan dalam perjanjian itu.

Beliau juga tidak bersetuju dengan peguam bela Muhammad Shafee Abdullah bahawa jika dokumen itu diberikan kepada PAC lebih awal apabila kes 1MDB didengar pada 2015, jawatankuasa itu mungkin mendedahkan beliau sebagai antara konspirator dalam skandal tersebut bersama-sama dengan ahli perniagaan yang kini menjadi buruan, Jho Low .

Shafee: Saya katakan pada kamu, jika dokumen-dokumen ini disediakan pada masa lebih cepat, ia boleh mendedahkan kamu bersama-sama dengan Jho Low, Jasmine Loo, Casey Tang, Patrick Mahoney dan Tarek Obaid sebagai konspirator dalam skim melibatkan berbilion dolar daripada 1MDB?

Shahrol: Tak setuju.

Shafee: Dan akhir sekali saya katakan kepada kamu, ini adalah sebab utama mengapa kamu didorong perasaan bimbang kerana komposisi ahli PAC ini tidak  tidak bodoh dan mereka akan mendedahkan kecurangan ini?

Shahrol: Tak setuju.


Peguam minta mesyuarat dengan Hakim Besar Malaya mengenai SOP Covid-19

10.48 pagi: Peguam bela Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa kedua-dua pihak - pembelaan dan pendakwaan- akan menulis surat kepada Hakim Besar Malaya, Azahar Mohamed untuk mengadakan satu mesyuarat bagi membincangkan kelonggaran bagi perbicaraan 1MDB semasa pandemik Covid-19.

Adalah difahamkan bahawa ia berkaitan bilangan peguam yang dibenarkan berada di mahkamah pada satu-satu masa, yang buat masa ini dihadkan kepada tiga orang ekoran prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan wabak berkenaan.

Shafee kemudian membuat permohonan agar perbicaraan hari ini ditangguhkan pada jam 12.30 tengah hari bagi memberi ruang beliau dan timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib menguruskan hal berkenaan.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan itu.

Shafee kemudian menzahirkan penghargaan buat Sequerah kerana membenarkan seorang peguam pembantu untuk duduk di sebelah ketua peguam untuk kedua-dua pasukan pembelaan dan pendakwaan. 


Bekas CEO 1MDB dipanggil

10.45 pagi: Prosiding bersambung semula, dengan saksi pendakwaan ke-9 dipanggil.

Bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang duduk di kandang saksi dan memakai pelitup muka berwarna hitam, menyambung sesi pemeriksaan balas oleh ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah.


Hakim benarkan peguam duduk sebelah-menyebelah di mahkamah

10.35 pagi: Timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib dilihat berpindah untuk duduk di sebelah ketua timbalan pendakwa raya, Gopal Sri Ram di mahkamah, dan perkara sama dapat dilihat di pasukan pembelaan, antara ketua pembelaan Muhammad Shafee Abdullah dan seorang lagi peguam bela Tania Scivetti.

Mahkamah masih berehat buat masa ini, namun difahamkan peguam daripada kedua-dua belah pihak telah berbincang lanjut berkenaan tempat duduk dengan Hakim Collin Lawrence Sequerah di kamar mahkamah.

Malaysiakini mendapat pengesahan daripada salah seorang peguam bahawa mereka mendapat kebenaran untuk menukar aturan tempat duduk bagi melicinkan perjalanan perbicaraan. 


Saya mungkin terpaksa tarik diri, kata Shafee

9.57 pagi: Peguam Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan Mahkamah Tinggi bahawa beliau mungkin perlu menarik diri sebagai peguam Najib Razak kerana tidak dapat melakukan tugaas dengan baik ekoran sekatan dihadapinya berkaitan Covid-19.

Shafee memaklumkan perkara itu kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah ketika membuat permohonan agar dibenarkan kelonggaran terhadap sekatan berkenaan, supaya lebih ramai peguam pembelaan dibenarkan masuk ke mahkamah.

Buat masa ini, hanya seorang peguam atau timbalan pendakwa raya yang dibenarkan duduk di meja pembelaan dan pendakwaan di mahkamah.

Kata Shafee, mahkamah perlu memberikan kelonggaran kerana beliau sukar menjalankan tugasnya sebagai seorang peguam, malah mendakwa sukar berkomunikasi dengan Najib.

“Saya tak boleh buat kerja. Saya tak boleh bercakap dengan anak guam saya. Saya mungkin terpaksa menarik diri.

“Saya tak boleh buat kerja macam ini. Saya nampak macam orang dungu semasa memeriksa dokumen,” katanya merujuk ketidakmampuannya memeriksa dokumen mahkamah dengan peguam bela lain semasa prosiding.

Shafee kemudian memohon rehat seketika untuk berbincang dengan Najib tentang perkara itu, katanya, berhubung “keputusan yang mungkin saya perlu lakukan”.

Sequerah membenarkan permohonan rehat seketika.


'Kalau ramai dibenarkan masuk lebih baik bicara di pasar borong'

9.52 pagi: Jika lebih ramai orang dibenarkan masuk ke mahkamah walaupun ada penjarakan sosial, lebih baik perbicaraan diadakan di Pasar Borong Selayang, kata hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Collin Lawrence Sequerah memberitahu peguam bela utama Najib Razak sebagai respons kepada permintaan peguam agar lebih ramai dibenarkan memasuki mahkamah.

Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan telah dimaklumkan sebelum ini bahawa beberapa peguam boleh dibenarkan memasuki mahkamah pagi ini dengan menggunakan lima pas awam.

Shafee berkata, namun apabila mereka tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sekitar jam 7.45 pagi ini, semua pas awam telah diambil.

"Jadi lebih baik pergi ke Pasar Borong Selayang dan jalankan perbicaraan di sana tanpa sekatan.

"Berapa ramai orang yang anda mahu di mahkamah," soal Sequerah kepada Shafee.

"Kebimbangan saya adalah jika kita tidak mematuhi SOP, maka tidak ada gunanya, seperti juga benarkan sesiapa saja untuk masuk," kata Sequerah sambil menambah kesihatan dan keselamatan rakyat adalah paling utama.


9.50 pagi: Perbicaraan 1MDB bermula dengan timbalan pendakwa raya (DPP), Gopal Sri Ram meminta mahkamah membenarkan rakan DPP, Ahmad Akram Gharib duduk di sebelahnya di mahkamah.

Gopal memberitahu Hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa beliau memerlukan Akram untuk membantunya berhubung eksibit semasa pemeriksaan ke atas saksi.

Bagaimanapun, permintaan itu ditolak hakim, yang mengatakan mahkamah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

Sequerah enggan berganjak daripada keputusannya, walaupun selepas Gopal memberitahu beliau mengenai mesej dari Ketua Pendaftar bahawa hakim boleh menggunakan budi bicara dalam perkara itu.

"Dalam kes ini saya enggan menggunakan budi bicara saya. Saya akan tetap dengan arahan sekarang.

"Sila tulis kepada Ketua Hakim Malaya," kata Sequerah.

Gopal kemudian melanjutkan lagi permintaan kepada hakim, yang datang dari saksi pendakwaan, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Beliau mengatakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB itu tidak dapat memberi keterangan sepanjang hari ini, dan meminta perbicaraan diteruskan sehingga jam 2 petang sebelum ditangguhkan.

Sequerah membenarkan permohonan itu.


9.44 pagi: Najib memasuki kandang tertuduh apabila perbicaraan bermula.


9.30 pagi: Bekas perdana menteri Najib Razak memasuki Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dilihat memakai pelitup muka, beliau mengambil tempat duduk di barisan hadapan galeri awam sementara menunggu prosiding bermula.


Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi akan menyambung keterangan dalam sesi pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan pada hari ke-37 perbicaraan Najib Razak berkaitan dakwaan penyelewengan dana RM2.28 bilion 1MDB hari ini.

Saksi kesembilan pendakwaan itu akan menyambung keterangan daripada  prosiding semalam, selepas perbicaraan selama lebih enam bulan ditangguhkan beberapa kali.

Prosiding semalam menyaksikan banyak perkembangan pada sesi sebelah petang, di antaranya pihak pendakwaan mahu memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Najib berhubung satu kenyataan beliau yang dipetik daripada artikel Reuters.

Dalam artikel bertarikh 4 Mac itu, tertuduh dipetik sebagai berkata beliau menjangkakan keadaan semasa "lebih kondusif" untuk mendapatkan perbicaraan yang adil berikutan perubahan kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN).

Semasa perbicaraan semalam, DPP Gopal Sri Ram memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah bahawa anak tiri Najib, Riza Aziz menyatakan kesediaan untuk memberi keterangan dalam perbicaraan Najib.

Pada 14 Mei, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepaskan tanpa membebaskan Riza atas tuduhan pengubahan wang haram berkaitan AS$ 248 juta wang 1MDB,  selepas bersetuju mengembalikan jutaan ringgit kepada kerajaan.

Ketika disoal oleh Shafee semalam, Shahrol memberitahu mahkamah bahawa lembaga pengarah 1MDB mengeluarkan butiran terpeinci dalam beberapa minit mesyuarat untuk 'melindungi' Najib.

Pada sidang media selepas prosiding semalam, Shafee berkata "kebenaran" daripada kenyataan Riza dapat membantu beliau dalam kesnya dan oleh itu sekiranya Riza memberi keterangan dalam perbicaraan 1MDB ini, sebenarnya ia juga boleh membantu kes Najib.

Di hadapan media semalam, Shafee turut mempersoalkan kritikan terhadap keputusan membebaskan tanpa melepaskan Riza.

Peguam itu mempersoalkan mengapa pembebasan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng atas tuduhan rasuah melibatkan pembelian sebuah banglo pada harga pasaran tidak dibangkitkan.

Lim dibebaskan ketika Jabatan Peguam Negara diketuai oleh Peguam Negara, Tommy Thomas

Perbicaraan terhadap Najib di hadapan hakim Sequerah dijangka disambung semula sekitar jam 9.30 pagi ini.