Skip to main
Logo Malaysiakini

Imigresen gempur pasar di PJ, 200 PATI ditahan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jabatan Imigresen dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Kesihatan hari ini menggempur kawasan di sekitar Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya bagi mengesan dan menahan pendatang tanpa izin.

Serbuan mengejut di kawasan yang diisytiharkan sebagai zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) itu bermula sejak jam 9.30 pagi.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud yang turut serta dalam serbuan itu berkata kira-kira 200 orang pendatang asing tanpa izin (Pati) yang berasal daripada Indonesia, India, Pakistan dan Bangladesh berjaya ditahan.

Kawasan berkenaan diketahui umum menjadi tumpuan warga asing.

Bercakap kepada pemberita, beliau berkata tiada risiko penyebaran COvid-19 kerana semua terlibat telah diuji dan dikuarantin.

Operasi dengan kerjasama pihak polis itu dibuat tiga hari sebelum perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) berakhir di kawasan itu.

Penguat kuasa dilihat memasuki zon perintah berkurung itu bermula jam 8 pagi ini dengan beberapa bahagian pagar kawat berduri dibuka untuk mereka masuk.

Dron juga dilihat berlegar di udara bagi memantau kawasan terbabit.

Kawasan tersebut diumumkan sebagai kawasan PKPD sejak 10 Mei dan dijangka tamat pada 23 Mei.

Sebanyak 28 kes positif Covid-19 dikesan di kawasan ini dan dua daripadanya berada di luar kawasan PKPD.