Skip to main
Logo Malaysiakini

Peguam fail permohonan semak keputusan DNAA kes Riza Aziz

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang peguam kanan memfailkan permohonan menyemak semula keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) anak tiri Najib Razak, Riza Aziz, berhubung kes pengubahan wang haram AS$248 juta dikaitkan dengan 1MDB.

Shaharudin Ali memfailkan permohonan itu menerusi emel bertarikh hari ini ke Mahkamah Tinggi (Jenayah) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta.

Berdasarkan surat yang dilihat Malaysiakini tengah hari tadi, Shaharudin berkata mahkamah sesyen telah khilaf apabila membenarkan perintah DNAA terhadap Riza.

Jelasnya, hal itu memandangkan mahkamah tersebut telah khilaf dalam melaksanakan ‘budi bicara’ ke atas ‘leave’ (kebenaran terhadap permohonan), sedangkan tidak jelas atas dasar apa budi bicara itu dilaksanakan dan apakah ‘leave’ dibenarkan selepas bahan-bahan material dipertimbang, diperhalusi dan dikaji di hadapan mahkamah.

Katanya, ini memandangkan tiada langsung proses budi bicara kehakiman (judicial discretion) dalam membenarkan permintaan ‘application for leave’ oleh timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram, seperti termaktub di bawah seksyen 254 (2) Kanun Tatacara Jenayah.

Seksyen 254 memperuntukkan tatacara apabila pendakwaan tidak lagi bercadang untuk meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh atau apabila proses sedemikian boleh berakhir dengan DNAA.

Seksyen 254 (2) menyatakan bahawa di sebarang peringkat dalam mana-mana perbicaraan di mahkamah sesyen atau mahkamah majistret, sebelum disampaikan penghakiman, pegawai yang menjalankan pendakwaan, jika berpendapat patut, boleh memberitahu mahkamah yang dia tidak bertujuan hendak mendakwa tertuduh selanjutnya terhadap pertuduhan itu dan semua prosiding pertuduhan ke atas tertuduh itu bolehlah diberhentikan dengan kebenaran mahkamah, dan jika diberhentikan sedemikian, maka tertuduh hendaklah dibebebaskan daripada pertuduhan itu.

Seksyen 254 (3) pula menyatakan bahawa pelepasan daripada pertuduhan yang seumpama itu tidak dianggap sebagai pembebasan, kecuali jika mahkamah mengarahkan demikian.

Peguam itu kemudian menyenaraikan tiga faktor relevan yang tidak diambil kira hakim mahkamah sesyen ketika melaksanakan budi bicara dalam membenarkan DNAA terhadap Riza.

Pertama, katanya, tertuduh berdepan dengan lima tuduhan yang serius, iaitu pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.25 bilion), yang didakwa adalah dana daripada syarikat 1MDB.

Kedua, katanya, kes ini dan kes-kes lain berkaitan 1MDB adalah kes pengubahan wang yang terbesar dan paling rumit dalam sejarah negara.

Ketiga, katanya, adalah tidak tepat dan tidak betul jika dikatakan bahawa tertuduh akan mengembalikan sebahagian daripada kerugian yang berjumlah "beberapa juta ringgit".

“Jumlah yang dimaksudkan ialah pemulangan oleh OKT (tertuduh) amaun AS$108, tetapi jumlah tersebut akan dipulangkan oleh DOJ (Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat) kepada kerajaan Malaysia, dan bukan daripada kocek OKT sendiri.

“Sejak beberapa bulan dahulu, DOJ telah membuat kenyataan bahawa ia sedang berusaha memulangkan wang tersebut kepada Malaysia,” kata Shaharudin di dalam emel tersebut.

“Sama ada suatu penyelesaian telah dicapai untuk OKT secara sendiri membayar AS$108 juta, adalah satu persoalan yang tidak dipertimbang secara kehakiman (judicially considered) oleh HMS (hakim mahkamah sesyen).

“Dengan penuh hormat, HMS seharusnya menangguhkan (postpone) kes tersebut dan menetapkan satu tarikh sebutan, bagi membolehkan mahkamah menerima keterangan yang lebih baik dan jelas daripada Datuk Sri Ram/ Peguam Negara.

“Ini adalah kerana dibawah seksyen 254 (2) HMS berhak menolak permohonan Datuk Sri Ram – kerana perkataan “may be stayed” jelas memberi kuasa budi bicara kepada HMS untuk tidak membenarkannya,” tambahnya lagi.

Dalam perenggan terakhir surat berkenaan, Shaharudin memohon hakim mahakamah tinggi untuk memanggil rekod kes tersebut daripada mahkamah sesyen dan mengkaji rekod prosiding kes Riza itu.

Ia katanya, bertujuan bagi maksud memuaskan hati hakim mahkamah tinggi akan kebetulan, keabsahan dan kewajaran perintah DNAA oleh hakim mahkamah sesyen tersebut, menurut undang-undang.

Permohonan Shaharudin itu dibuat di bawah seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah, yang mana subseksyen (1) peruntukan itu menyatakan bahawa seseorang hakim boleh memanggil dan memeriksa rekod sebarang perbicaraan mahkamah jenayah rendah dengan tujuan memuaskan hatinya tentang kebetulan, kebenaran dan munasabah sebarang pendapat, hukuman atau perintah yang direkodkan atau dijatuhkan, dan tentang mengikut aturan pembicaraan yang sedang dijalankan oleh makahmah rendah berkenaan.

Shaharudin turut menambah, sekiranya mahkamah tinggi memanggil rekod kes itu seperti permohonan yang dibuatnya, beliau memohon kebenaran untuk hadir dan membuat hujahan-hujahan yang berkaitan sebagai amicus curiae (seseorang yang tidak terlibat dalam sesuatu hal tetapi membantu mahkamah dengan menawarkan, antara lain maklumat dan kepakarannya).

Ketika dihubungi Malaysiakini tengah hari tadi, Shaharudin mengesahkan tentang permohonan tersebut, dengan menjelaskan bahawa ia dibuat atas kerelaannya sendiri dan bukan mewakili mana-mana pelanggan.

“Tak ada (pelanggan). Saya cuma bertindak sebagai ahli masyarakat yang ambil berat, di bawah Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah.

“Mana-mana ahli masyarakat boleh memaklumkan mahkamah tinggi sekiranya mereka rasakan ada sesuatu yang tidak kena pada keputusan mahkamah rendah, sekiranya keputusan itu dibuat tidak berpandukan undang-undang,” katanya.

Pada 14 Mei, dilaporkan bahawa Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan DNAA terhadap penerbit filem Hollywood Riza Aziz berhubung kes pengubahan wang haram AS$248juta yang dikaitkan dengan 1MDB.

Bekas peguam negara Tommy Thomas telah beberapa kali menafikan dakwaan yang menyatakan beliau bersetuju terhadap rundingan DNAA antara pendakwaan dengan Riza, dengan menyifatkannya sebagai satu pembohongan.

Bagaimanapun, Peguam Negara Idrus Harun menjelaskan berdasarkan maklumat yang disampaikan kepadanya, Thomas bersetuju secara prinsip untuk menerima representasi daripada Riza.

[Baca berita asal]