Hari ke-38: Pengurusan 1MDB panggil Petrosaudi 'pain in the a**'
LANGSUNG | Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak yang melibatkan dakwaan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan dana 1MDB memasuki hari ke-38 hari ini di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.
Malaysiakini membawakan laporan secara langsung prosiding tersebut.
1.16 tengah hari - Ketika prosiding dihentikan, hari ini, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi mengatakan bahawa dia boleh memberi keterangan dari jam 9 hingga 6 petang, sekali gus membuat mahkamah senyap seketika.
Ini berlaku ketika peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah mengajukan permohonan kepada mahkamah agar perkara itu ditangguhkan pada hari tersebut dan disambung semula pada 3 Jun kerana peguamnya keletihan untuk melakukan pemeriksaan balas ketika berpuasa.
Pada ketika ini, saksi pendakwaan kesembilan Shahrol menjelaskan bahawa dia sakit tekak ketika berpuasa dan tidak tahu sama prosiding dapat diteruskan pada bulan Jun.
Shahrol kemudian memberi jaminan kepada mahkamah bahawa apabila prosiding disambung semula pada bulan Jun setelah habis bulan puasa, dia bersedia untuk memberi keterangan "dari jam 9 pagi hingga 6 petang".
Ia mengundang tawa di mahkamah dan hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah tersenyum dan kemudiannya membenarkan permohonan Shafee dan perbicaraan ditangguhkan untuk hari ini. Ia akan disambung semula pada 3 Jun.
Anekdot nasi goreng CEO 1MDB ceriakan mahkamah
12.50 tengah hari - Anekdot nasi goreng oleh bekas ketua Pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi mengundang lucu ketika perbicaraan yang biasanya suram berhubung skandal 1MDB bernilai RM2.28 bilion membabitkan bekas perdana menteri Najib Abdul Razak.
Kisah mengejutkan saksi pendakwaan kesembilan untuk menjelaskan mengapa dia mempercayai ahli perniagaan dalam pelarian Jho Low yang dikaitkan dengan 1MDB dibangkitkan semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah.
"Saya mempercayai Low kerana tindakannya ... Najib berada di sekitarnya sejak awal. Dia nampaknya mempunyai akses (kepada Najib).
"Satu anekdot yang dapat saya berikan kepada mahkamah, saya terkenal membuat nasi goreng yang enak. Saya memberikan sebahagian kepada Jho Low, dan dia bertanya kepada saya apakah dia boleh membawa beberapa kepada Najib.
"Dan kemudian dia memberitahu saya bahawa Najib mengatakan itu (nasi goreng) bagus," kata Shahrol, mencetuskan ketawa dari mereka yang hadir di mahkamah ketika prosiding
'Talking point' Jho Low agar 1MDB beli saham PSOSL berdasarkan 'niat baik'
12.26 tengah hari: Bekas CEO 1MDB tidak mengesahkan talking point (nota maklumat) Jho Low berhubung pembelian saham dalam PSOSL.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata beliau tidak mengesahkan dakwaan Jho Low berkenaan dana kekayaan berdaulat itu membeli kepentingan dalam Petrosaudi Oil Services Ltd (PSOSL) pada tahun 2012.
Saksi pendakwaan kesembilan itu memberitahu peguam utama, Muhammad Shafee Abdullah mengenai perkara ini semasa pemeriksaan balas.
"Saya menerimanya dengan niat baik kerana ini dilakukan pada tahap tertinggi konsisten dengan taking point dan tindakan (Jho Low). Saya tidak curiga," kata Shahrol.
Shafee kemudian bertanya kepadanya bahawa walaupun dia tahu Jho Low mempunyai hubungan rapat dengan bekas perdana menteri Najib Razak, Shahrol sendiri masih boleh mengesahkan dakwaan Jho Low.
"Tidak pada setiap waktu," kata Shahrol, setuju dengan Shafee bahawa dia tidak pasti sama ada Jho Low mengatakan yang sebenarnya kerana dia (Shahrol) menerimanya dengan niat baik.
11.35 pagi: Prosiding bersambung semula.
11.05 pagi: Prosiding berhenti rehat seketika.
Pengurusan 1MDB panggil Petrosaudi 'pain in the as*'
10.35 pagi: Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi disoal asal-usul nama projek beberapa projek oleh syarikat itu pada 2012.
Antaranya, projek yang dipanggil dengan nama 'Pita'.
Menjelaskan hal itu kepada mahkamah, Shahrol berkata nama itu berasal-usul daripada jenaka dalaman di kalangan pengurusan 1MDB ketika itu, di mana mereka merujuk Petrosaudi sebagai 'pain in the as*' atau nama pendeknya Pita.
Muhammad Shafee Abdullah (peguam bela): Atas dasar ingin tahu, kamu ingat projek Pita ni? Pita ni apa maksudnya?
Shahrol: Itu jenaka dalaman. P itu untuk PSI, manakala Ita itu untuk ‘in the as*’.
Shafee: Pita ni maksudnya Petrosaudi pain in the as*?
Shahrol: Untuk kembalikan dana itu, ya.
Shafee: Kenapa ia menjadi jenaka dalam pengurusan. Sebab kamu dah dapat lihat kan? Duit itu takkan dapat dikembalikan?
Shahrol: Ya
Unit dana 1MDB dalam Petrosaudi sama macam dalam PNB - Saksi
10.25 pagi: Mahkamah diberitahu oleh bekas CEO 1MDB bahawa berbilion ringgit yang dilaburkan syarikat itu dalam Petrosaudi dalam bentuk unit dana, adalah sama dengan unit dana dalam Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Shahrol Azral Ibrahim Halmi memaklumkan perkara itu apabila diminta peguam bela Muhammad Shafee Abdullah untuk menjelaskan apakah sebenarnya unit dana, dalam pemeriksaan balas.
“Unit dana itu adalah sama dengan unit PNB. Unit-unit ini dipegang dalam satu amanah, dan amanah itu sepatutnya labur dalam syarikat sebenar dan sebagainya," kata saksi kesembilan pendakwaan itu.
Bekas CEO 1MDB nafi terlibat penipuan 1MDB
10.18 pagi: Bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi tidak bersetuju dengan cadangan pembelaan bahawa dia terlibat dalam penipuan membabitkan kepentingan dana kekayaan negara dalam Petrosaudi Oil Services Ltd (PSOSL) pada 2012.
Saksi kesembilan pendakwaan itu menafikan cadangan yang dikemukakan ketua peguam bela Muhammad Shafee Abdullah itu dalam pemeriksaan balas.
Shafee menyoal Shahrol tentang cubaan mengembalikan wang 1MDB dalam Petrosaudi International (PSI) menerusi penjualan 49 peratus kepentingan 1MDB dalam PSOSL kepada Bridge Partners International Investments.
Soal Shafee juga, mengapa selepas beberapa bulan 1MDB memperoleh kepentingan PSOSL pada awal 2012, kepentingan PSOSL kemudiannya dijual kepada Bridge Partners, lebih-lebih lagi dengan penglibatan penasihat umum (general counsel) Jasmine Loo dan ahli perniagaan Jho Low, antara lain.
“Ini merupakan penipuan, memanglah di atas sekali ketuanya Jho Low, tapi ia tak boleh beroperasi sendiri memandangkan konco-konco di bawah dia, termasuk kamu, Jasmine dan pengurusan, ditempatkan dengan cantik sekali oleh Jho Low,” kata Shafee.
Untuk cadangan ini, Shahrol menjawab “tidak bersetuju”.
Apabila Shafee menyindir Shahrol, menyatakan bahawa jika begitu, perdana menteri ketika itu Najib Razak juga ditipu memandangkan tertuduh tidak akan mampu mengurus sehingga perkara-pekara kecil, Shahrol menjawab dia tidak boleh memberikan komen tentang apa yang Najib tahu atau tidak tahu pada ketika itu.
Lembaga 1MDB tak pernah tengok kertas kewangan bukti kedudukan PSOSL
10 pagi: Pemeriksaan balas pasukan pembelaan terhadap saksi pendakwaan Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas CEO 1MDB, menyentuh soal pemerolehan saham 1MDB dalam Petrosaudi Oil Services Ltd (PSOSL) pada 2012.
Saham itu sepatutnya merupakan sebahagian daripada proses pencairan nota Murabahah 1MDB yang dimilikinya hasil usahasama dengan Petrosaudi.
Bagaimanapun, menurut keterangan Shahrol, lembaga pengarah 1MDB tidak pernah melihat apa-apa kertas kewangan yang membuktikan kedudukan kewangan PSOSL.
Disoal oleh ketua peguam bela Muhammad Shafee Abdullah, Shahrol mengaku dia tidak pasti sama ada Jasmine Loo, yang merupakan seorang eksekutif 1MDB ketika itu, ada melihat akaun PSOSL yang telah diaudit.
Shafee: Jadi lembaga tak pernah lihat akaun PSOSl yang telah diaudit untuk menentukan berkenaan hal itu sendiri?
Shahrol: Soalannya apakah lembaga ada lihat? Tidak.
Shafee: (Macam mana pula dengan) pihak pengurusan?
Shahrol: Tak tahulah kalau Jasmin ada (lihat).
Berdasarkan pemeriksaan balas itu, Shahrol juga tidak pernah melihat sendiri dua kapal penggalian/penerokaan (exploration) minyak dengan nama Discoverer dan Saturn,
yang sepatutnya dimiliki PSOSL dan siap dilengkapi untuk melakukan operasi.
9.45 pagi: Najib Razak memasuki kandang tertuduh apabila hakim, Collin Lawrence Sequerah memasuki Mahkamah Tinggi.
Berada dalam kandang saksi adalah bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB dan saksi pendakwaan ke-9, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
Turut kelihatan di mahkamah ialah peguam utama Muhammad Shafee Abdullah dan ahli-ahli pasukan pembelaan dan DPP Gopal Sri Ram serta pasukannya.
9.31 pagi: Bekas perdana menteri Najib Razak memasuki Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Tertuduh mengambil tempat duduk di baris hadapan galeri awam sambil menanti prosiding bermula.
Pasukan pembelaan hari ini dijangka menyambung pemeriksaan balas terhadap saksi kesembilan pendakwaan, Shahrol Azral Ibrahim Halmi berhubung fasa keempat membabitkan dana RM2.8 bilion 1MDB.
Ini antara soalan yang dijangka dikemukakan peguam utama Muhammad Shafee Abdullah terhadap bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB itu, pada hari ke-38 perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berhubung lima pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Di akhir prosiding semalam, Shafee menyoal balas Shahrol berhubung fasa keempat yang dikatakan bermula dari tahun 2012, iaitu pembelian sebanyak 49 peratus ekuiti dalam PSOSL, anak syarikat Petrosaudi International (PSI).
Menurut kenyataan saksi setebal 270 halaman Shahrol ini, 1MDB memeterai perjanjian ekuiti dengan PSOSL setelah ia (1MDB) menamatkan perjanjian Murabaha dengan PSI pada tahun 2012.
Fasa keempat 1MDB dinyatakan dalam muka surat 249 pernyataan saksi Shahrol.
Dalam prosiding semalam, Shahrol memberi keterangan dia dijadikan kambing hitam berhubung skandal berbilion ringgit melibatkan 1MDB.
Pada awal perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, hakim Collin Lawrence Sequerah dan Shafee bertekak mengenai permintaan agar lebih ramai peguam dibenarkan hadir ke mahkamah untuk membantu Shafee dalam prosiding itu.
Hakim secara sinis menyatakan perbicaraan mungkin akan diadakan di pasar borong Selayang jika ramai peguam dibenarkan masuk ke mahkamah sehingga mengabaikan penjarakan sosial sebagai sebahagian langkah mencegah Covid-19.
Shafee kemudian mengatakan beliau tidak dapat melaksanakan tugasnya sebagai peguam dan mungkin perlu menarik diri dalam perbicaraan itu jika kelonggaran tidak diberikan.
Selepas prosiding ditangguhkan sekitar tengah hari semalam, Shafee dan pihak pendakwaan berhasrat bertemu Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Azahar Mohamed mengenai sekatan itu.
Dalam prosiding semalam, Shahrol juga memberi keterangan lembaga 1MDB tidak menyemak latar belakang salah seorang pengarah, Ong Gim Huat, kerana Najib mahu Ong dilantik dan telah menjalankan kuasanya di bawah artikel penubuhan 1MDB untuk berbuat demikian.
Menurut laporan The Edge, Ong bukan sahaja merupakan rakan tetapi juga rakan kongsi perniagaan Larry Low. Larry Low merupakan bapa Jho Low - ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB.
Perbicaraan di hadapan Sequerah akan disambung semula sekitar 9.30 pagi ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai