Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: 50 kes baru, 90 sembuh, tiada kematian

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Malaysia mencatatkan 50 lagi kes Covid-19 baru, menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan yang dicatatkan adalah sebanyak 7,059.

Setakat tengah hari tadi, 90 lagi pesakit sembuh sepenuhnya, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih dari jangkitan wabak itu ialah 5,796.

Ini menjadikan jumlah kes aktif Covid-19 sekarang adalah 1,149 kes.

Pada sidang media hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baru yang dilaporkan terdiri daripada tiga kes import dari luar negara.

“Daripada 47 kes penularan tempatan, 41 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 34 kes telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Bukit Jalil.

“Mereka ini telah berada di dalam tahanan sejak sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac 2020,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini, terdapat 10 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, tujuh kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dimaklumkan bahawa tiada kes kematian berkaitan Covid-19 setakat ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 114 kes atau 1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

 

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa terdapat satu kluster baru yang telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen di Bukit Jalil.

Katanya, sehingga 21 Mei jam 12 tengah hari, seramai 645 orang telah disampel secara keseluruhan dengan o 35 kes positif Covid-19 berjaya dikesan.

“400 kes negatif Covid-19 dan 210 orang masih menunggu keputusan.

“Kesemua 35 kes positif tersebut adalah melibatkan bukan warganegara Malaysia, iaitu 17 warga Myanmar, 15 warga India, seorang setiap satu dari Sri Lanka, Bangladesh dan Mesir,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, punca jangkitan adalah masih dalam siasatan tetapi pihaknya telahpun menjalankan pelbagai aktiviti pencegahan dan kawalan.

Ini termasuk, aktiviti nyah kuman, pendidikan kesihatan seperti penjagaan kebersihan diri, kerap mencuci tangan dengan air dan sabun serta penekanan mengenai penjarakan sosial.

Selain itu, beliau berkata KKM telah menyediakan perkhidmatan kesihatan ke semua pusat depot tahanan secara berjadual.