Skip to main
Logo Malaysiakini

Membina impian masa hadapan tanpa jurang

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Pasti setiap dari kita pernah tertanya-tanya siapakah kita pada 10 tahun akan datang? Tak perlu menjadi seorang futuris untuk berfikir perihal masa depan sebegini. Ia boleh berada di benak pemikiran ketika kita sedang berangan-angan, atau ketika kita sedang ligat merancang kehidupan.

Itu adalah perihal kita sebagai individu. Sebagai ahli masyarakat atau warga sesebuah negara, kita akan fikirkan hal lain pula. Bagaimanakah Malaysia pada 10, 20 atau 30 tahun akan datang?

Generasi ibu bapa kita pernah dikemukakan soalan sebegini dahulu. Sejak Wawasan 2020 dirangka dan dihebahkan pada 1991, setiap kanak-kanak akan diminta supaya membayangkan kehidupan pada 2020. Mereka mungkin pernah diminta untuk menulis karangan atau menghasilkan lukisan atau berimaginasi tentang tahun 2020 yang mereka idamkan seperti kereta terbang, kemodenan dan sebagainya.

Namun kini pada tahun 2020, pastilah imaginasi anak-anak muda kita lebih terkehadapan. Mungkin ada yang membayangkan segala teknologi supercanggih ciptaan Tony Stark akan direalisasi pada 2030. Mungkin sebuah bandar serba canggih seperti Wakanda akan wujud.

Angan-angan adalah percuma. Kita semua layak memasang angan-angan. Namun, persoalan pokoknya lebih terarah Malaysia yang bagaimana kita mahu pada 2030?

Saya suka untuk menyorot imaginasi tentang masa depan dari seorang penulis muda berbakat, Fahmi Mustaffa dalam novelnya, Suatu Hari Nanti Manusia Akan Melupakan Tuhan.

Fahmi membayangkan pada tahun 2112, Kuala Lumpur yang digelar Neo-Kuala Lumpur sudah berubah rupanya. Manusia terbahagi kepada dua bangsa: proto-human dan neo-human. Proto-human adalah kita pada pada hari ini, manusia homosapien yang dianggap kuno dan kolot pada zaman itu. Neo-human pula manusia canggih yang ditanam cip khas pada mindanya.

Proto-human adalah kaum pekerja. Mendiami tangga terbawah dalam hierarki kemanusiaan. Tugasnya mengerjakan hasil pertanian untuk membekalkan makanan kepada neo-human. Mereka tinggal di Dataran Pembebasan.

Neo-human pula digelar kaum tinggi. Hierarki mereka lebih tinggi. Kehidupannya serba canggih. Pakaian mereka cantik dan segak belaka. Ada antara mereka yang tinggal di udara, terapung jauh dari Dataran Pembebasan yang menjijikkan.

Saya pasti, ini bukan masa depan yang Fahmi impikan. Fahmi cuma mahu menyampaikan, itulah bentuk masa depan yang akan tercipta jika manusia terus melayan sikap tamak dalam diri masing-masing. Masa depan yang buruk itu terbentuk kerana kita tidak mengendahkan bahana jurang yang tercipta sesama kita.

Dalam hal ini kuncinya adalah jurang. Kita boleh bermimpi tentang kereta terbang atau rumah yang boleh termuat dalam kapsul, namun jika isu jurang tidak kita cermati, tidak mustahil masa depan akan dibentuk dengan sumbang.

Jurang kekayaan juga menjadi tema dalam filem bukan Inggeris yang memenangi kategori filem terbaik dalam Anugerah Academy baru-baru ini, iaitu Parasite. Dalam konteks tempatan, kita boleh lihat persoalan jurang dimainkan dalam filem animasi tempatan paling berjaya, Ejen Ali The Movie.

Anda juga boleh melihat betapa lebarnya jurang kekayaan di Malaysia dengan menonton filem Songlap yang mengisahkan kehidupan sepasang adik-beradik serba miskin sehingga terpaksa bergelumang dalam kancah jenayah. Bandingkan situasi dua beradik lakonan Shaheizy Sam dan Shafie Naswip ini dengan latar kehidupan serba mewah yang disajikan dalam drama-drama petang di televisyen.

Isu perbezaan jurang ekonomi bukanlah satu sorotan sedih dalam babak dan layar-layar drama dan filem. Ia terakam dalam fakta dan dokumentasi yang diteliti dan dipersembahkan kepada dunia oleh Thomas Pikketty, seorang ahli ekonomi Perancis dalam bukunya Capital in the 21st Century. Fakta jurang ekonomi global yang telah melebar berdekad lamanya ini telah menggegar dan menjadi kemarahan pelbagai pembuat dasar dan pemegang modal yang menggambarkan ketidakstabilan dan punca konflik antara masyarakat terutama yang kaya dengan miskin.

Malah isu jurang kekayaan semakin mendapat perhatian dunia. Saban tahun, ia dibicarakan oleh para bijak pandai yang berforum di Davos, Switzerland. Oleh sebab itu, isu jurang ekonomi mendapat perhatian dalam pembentukan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030). Tahun 2030 yang kita impikan wajib menangani masalah jurang kekayaan dan pendapatan yang semakin membarah hari ini.

Di peringkat dunia, jurang kekayaan semakin melebar. Oxfam melaporkan 2,153 manusia terkaya dunia mempunyai kekayaan terkumpul yang lebih daripada kekayaan milik 4.6 bilion manusia lain. Di Malaysia tidak kurang buruknya. Pada 2016, jurang pendapatan antara kumpulan pendapatan 20 peratus tertinggi (T20) dengan 40 peratus terendah (B40) mencecah RM10,148.

Begitu juga, wujud jurang dalam penyertaan ekonomi apabila golongan B40 dan M40 bawahan mempunyai modal yang terhad untuk melibatkan diri dalam perniagaan. Ini menyukarkan mereka untuk meningkatkan pendapatan dan mendaki tangga kekayaan.

Soal jurang juga bukan hanya wujud antara kumpulan pendapatan. Ia juga wujud antara jantina, kaum dan kelas sosial. Dalam laporan yang sama, Oxfam mendedahkan jumlah kekayaan 22 lelaki paling kaya di dunia melebihi kekayaan semua wanita di benua Afrika. Oleh itu jurang mewujudkan prasangka antara kumpulan pendapatan, etnik dan wilayah. Ia suasana yang tidak sihat bagi sebuah negara seperti Malaysia.

Ditambah pula dengan kemajuan teknologi pada era revolusi industri keempat (RI4) kini, akibat jurang digital akan menyebabkan jurang semakin cepat melebar apabila kemahiran-kemahiran baharu dalam bidang automasi dan robotik tidak dapat dikuasai atau dicapai oleh golongan berpendapatan rendah akibat kesempitan hidup.

Inilah fenomena jurang digital yang bakal menyebabkan jurang ekonomi melebar dengan parah lagi dan hanya boleh dilihat impaknya pada lima hingga 10 tahun akan datang. Bagaimana anak-anak dari keluarga miskin mahu menguasai teknologi automasi jika mereka tidak mampu untuk memiliki komputer sendiri di rumah?

Ia akhirnya akan mewujudkan kitaran ganas. Si miskin yang tidak menguasai teknologi baharu akibat kesempitan hidup akan terus miskin kerana tidak mampu mendapatkan pekerjaan yang berkualiti. Yang miskin akan kekal miskin manakala yang kaya akan terus kaya.

Langkah drastik perlu diambil untuk menangani masalah jurang dalam negara ini. Semangat itu dapat dilihat dalam WKB2030 apabila objektif kedua dasar itu memberi fokus untuk menangani jurang kekayaan dan pendapatan.

Isu jurang yang mahu ditangani melalui WKB2030 bukan sahaja antara kumpulan pendapatan, malah antara kelas sosial (majikan dengan pekerja), jantina, kumpulan etnik dan wilayah. Lebih dari itu, isu jurang bukan material seperti jurang moral serta spiritual juga diberi perhatian.

Impian masa hadapan kita perlu distruktur semula. Tidak salah kita mengimpikan masa hadapan yang serba canggih dan menyenangkan. Namun kali ini, ayuh kita sama-sama menetapkan satu matlamat yang sama dalam impian masa hadapan kita.

Andai kita mahu masa hadapan yang terang-benderang, impikanlah supaya ia menerangi kehidupan setiap warga di negara ini tanpa ada yang terlindung di balik bayang-bayang penindasan. Andai kita mahu masa hadapan yang sarat dengan teknologi menyenangkan, impikanlah supaya ia menyenangkan kehidupan seluruh warga di negara ini tanpa ada yang ketinggalan.

Kita mahukan masa hadapan yang makmur, dan kemakmuran itu adalah untuk kita nikmati secara bersama. Maka tanamkanlah impian untuk kita bersatu padu menuju kemakmuran bersama.


MOHD NIZAM MAHSHAR mencipta nama di peringkat tempatan dan antarabangsa melalui kepakaran dalam bidang polisi awam dan pembangunan sivil. Beliau merupakan bekas ahli Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia (NEAC 2.0) dan anggota Majlis Penasihat Perdagangan dan Industri Malaysia (TIAC). Beliau juga pernah mengetuai beberapa organisasi berpengaruh antaranya sebagai CEO Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dan Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM). Mohd Nizam kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Masa Depan Malaysia (MASA) dan arkitek utama yang bertanggungjawab dalam melahirkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.