Skip to main
Logo Malaysiakini

Dr M, empat MP Bersatu duduk di kerusi bebas parlimen - Marzuki

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dan MP parti yang berpihak kepadanya hadir sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu dan telah duduk di kerusi anggota parlimen bebas serta bukan di kerusi pembangkang, kata Marzuki Yahya.

"Saya fikir ia suatu yang lazim, kami sokong PH tapi kami tidak berada dalam gabungan PH," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Marzuki yang mendakwa masih lagi setiausaha agung Bersatu walaupun telah dipecat presiden parti Muhyiddin Yassin, berkata kedudukan Dr Mahathir di kerusi pembangkang adalah keputusan beliau.

"Kerana ada di kalangan kita tidak menyokong pendirian untuk bersama dengan PN kerana ini bukan keputusan parti yang dibuat.

"(Kedudukan kerusi) neutral bebas tapi menyokong PH.

"Dia tak duduk di PH, dia duduk di tengah-tengah neutral bebas tapi sokong PH," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Walaupun Marzuki telah dipecat Muhyiddin dan digantikan oleh Hamzah Zainuddin, namun Dr Mahathir berkata pemecatan Marzuki serta pelantikan Hamzah sebagai setiausaha agung Bersatu sebagai tidak sah.

Dalam pada itu, Marzuki mengulang pendirian Bersatu tidak pernah membuat keputusan keluar PH atau menyertai PN.

Oleh yang demikian, jelas Marzuki, tindakan Dr Mahathir tidak bertentangan dengan pendirian parti untuk mengambil tempat duduk kerusi MP bebas di Dewan Rakyat.

Terdahulu Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan mencadangkan agar Bersatu melucutkan keanggotaan serta-merta ahli parlimen parti itu yang duduk di bahagian pembangkang semasa sidang Dewan Rakyat Isnin lalu.

“Dalam perlembagaan Bersatu, menyertai kelompok (kerusi) pembangkang adalah satu perkara yang menyebabkan keahlian seseorang gugur dengan sendirinya.

“Bukan tindakan disiplin, tetapi gugur (keahlian) dengan sendiri,” katanya. 

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula menggesa Bersatu memecat ahli parti yang berkeras untuk menjadi sebahagian daripada PH.

Wan Ahmad berkata tindakan perlu diambil berdasarkan Perkara 10.2.3 Perlembagaan Bersatu mengenai ahli parti yang menyertai parti politik lain.

Empat MP bersama Mahathir itu ialah Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Syed Saddiq Abdul Rahman (Muar) dan Maszlee Malik (Simpang Renggam).

Bagaimanapun, Marzuki berkata perkara 10.2.3 itu bukan bermaksud sebagaimana yang didakwa Wan Ahmad.

"Tidak artikel 10.2.3 maksud sertai atau menjadi ahli (parti politik lain), Dr Mahathir tidak pernah menyertai parti politik lain, Tun bersama rakan-rakan yang lima ini tidak menjadi ahli parti politik," jelasnya lagi.

Terdahulu hari ini, Sin Chew Daily memetik Ketua Jawatankuasa Pemilihan parti itu, Syed Hamid Albar mengesahkan keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bahawa Mahathir bukan lagi pengerusi Bersatu.

Syed Hamid menjelaskan walaupun Mahathir memegang jawatan penggal kedua sebagai pengerusi Bersatu, namun ia masih belum dimuktamadkan sementara menunggu keputusan pemilihan parti.

Beliau dilaporkan berkata Bersatu tidak dapat menetapkan tarikh baru untuk pemilihan parti kerana ROS telah menangguhkan semua aktiviti organisasi sehingga 30 Jun kerana wabak Covid-19.

Bersatu pada mulanya dijadual mengadakan mesyuarat bahagian secara serentak di seluruh negara pada bulan April.

Marzuki mengakui bahawa tempoh penggal baru Mahathir sebagai pengerusi Bersatu masih belum berkuat kuasa.

"Jawatan pengerusi belum dimuktamadkan, begitu juga dengan jawatan presiden, timbalan presiden dan MPT, bukan saja jawatan pengerusi belum dimuktamadkan, jawatan presiden, timbalan, naib, majlis pimpinan tertinggi, semua ini belum dimuktamadkan.

"(Ia) hanya akan dimuktamadkan selepas selesai pemilihan," katanya.

Perhimpunan agung Bersatu, yang pada mulanya dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 28 Jun, juga ditangguhkan.

Mahathir menang tanpa bertanding jawatan pengerusi Bersatu pada bulan Mac sementara perdana menteri yang juga presiden parti Muhyiddin Yassin dicabar oleh Mukhriz, timbalan presiden ketika itu.

[Baca berita penuh]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.