Skip to main
Logo Malaysiakini

Media Prima catat rugi bersih RM27 juta pada suku pertama

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Media Prima Bhd (Media Prima), kumpulan media bersepadu terkemuka di Malaysia mencatatkan kerugian bersih RM27.252 juta bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac, 2020 berbanding keuntungan bersih RM38.858 juta bagi tempoh yang sebelumnya.

Bagi suku yang berakhir 31 Mac, 2020, perolehan susut kepada RM238.436 juta berbanding RM239.102 juta.

“Kumpulan ini turut mencatatkan kerugian bersih selepas cukai (LAT) berjumlah RM30.0 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2020 berbanding LAT sebanyak RM42.8 juta bagi tempoh sebelum ini,” menurut kumpulan itu dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya di bawah suku yang dikaji, Media Prima kekal sebagai pilihan paling popular bagi kandungan mudah alih di negara ini dan mempunyai capaian penonton digital yang ketiga tertinggi di negara ini selepas Google dan Facebook.

Perolehan perdagangan meningkat 24 peratus bagi suku pertama 2020, dipacu oleh CJ Wow Shop, rangkaian membeli belah dari rumah Media Prima, yang mencatat pertambahan perolehan 18 peratus dan kenaikan 27 peratus pelanggan.

Selain itu, hasil tradisional kumpulan susut tujuh sen berikutan tindakan pengiklan yang berbelanja dengan berhati-hati.

Perolehan bagi edaran pula menokok 12 peratus dalam tempoh tiga bulan pada suku itu, mencerminkan hasil yang positif susulan langkah menambah baik kecekapan segmen berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Media Prima Syed Hussian Aljunid berkata penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19 telah memberi impak kepada sebahagian perniagaan.

“Walaupun Media Prima disifatkan sebagai perkhidmatan penting untuk meneruskan operasi sepanjang PKP, perniagaan kami tidak terlepas daripada menerima kesan penggunaan iklan yang lebih rendah dalam tempoh ketidaktentuan ini.

“Bagaimanapun, kami terus memanfaatkan inisiatif perniagaan yang proaktif dan keupayaan digital untuk mengurangkan impak Covid-19.

“Kami akan terus membuat kajian untuk memastikan kemampanan kumpulan pada waktu yang sukar ini,” kata Media Prima.

Pada suku pertama 2020, Media Prima memperkenalkan dua perniagaan baharu -- Media Prima Omnia Sdn Bhd (Omnia) dan Print Towers Sdn Bhd (Print Towers) - untuk menjana perolehan baharu dan mengoptimumkan kapasiti yang ada dalam kumpulan itu.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Iskandar Mizal Mahmood berkata fasa transformasi yang selanjutnya membabitkan penambahbaikan kos dan keberkesanan operasi di samping menyampaikan penyelesaian lebih efektif di seluruh platform media mereka.

“Kami yakin prestasi suku pertama 2020 menunjukkan kami menuju ke landasan yang tepat untuk menjadi syarikat yang lebih berdaya tahan. Namun, impak Covid-19 memerlukan kami melaksanakan langkah-langkah mengurangkan impak itu untuk menstabilkan kedudukan kumpulan.

“Walaupun kumpulan ini akan terus mempertahankan perniagaan tradisionalnya, digital dan perdagangan akan kekal menjadi bidang pertumbuhan utama kami. Kami akan terus mencari kaedah memanfaatkan kekuatan jenama media tradisional bagi memenuhi aliran pengguna yang terus berkembang sambil memanfaatkan permintaan kepada produk digital yang pelbagai,” katanya.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.