Skip to main
Logo Malaysiakini

Tak seperti Hussein Onn dan Abdullah Badawi, sokongan pada Muhyiddin belum diuji

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menyorot bahawa sebelum pelantikan Muhyiddin Yassin sebegai perdana menteri, Malaysia pernah menyaksikan dua kali pelantikan jawatan itu dilakukan sebelum pilihan raya umum.

Namun, katanya, sokongan terhadap pelantikan Hussein Onn dan Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri masing-masing pada 1976 dan 2003 diuji di parlimen.

"Malangnya, dalam kejadian ketiga peralihan kuasa dalam sejarah 61 tahun Parlimen Malaysia, seorang Ketua Majlis (perdana menteri) yang dipercayai mungkin mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat masih belum diuji dan disahkan sokongan tersebut.

"Muhyiddin dilantik pada 1 Mac 2020, namun sehingga hari ini iaitu 82 hari kemudian sokongan tersebut masih belum dapat disahkan," katanya.

Menurut Fahmi, sokongan untuk Hussein yang dilantik selepas kematian Abdul Razak Hussein dibentangkan pada 27 Jan 1976, atau 12 hari setelah dia dilantik.

Sementara bagi Abdullah yang dilantik menggantikan Dr Mahathir Mohamad ketika itu, dibentangkan pada 3 November 2003, atau tiga hari setelah dilantik.

Fahmi berkata keraguan terhadap jumlah sebenar sokongan Muhyiddin ditambah lagi apabila Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat, mengatakan tidak menyokong kerajaan dan sebaliknya bersama pembangkang.

Selain itu, kata Fahmi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menafikan kenyataan bersama yang meletakkan nama mereka sebagai sebahagian dari blok Perikatan Nasional (PN) yang menyokong Muhyiddin.

"Inilah antara sebab mengapa ramai yang persoalkan keabsahan kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri sekarang.

"Mungkin peluang berikutnya untuk menguji sokongan beliau akan tiba 134 hari selepas beliau dilantik, iaitu pada 13 Julai bila parlimen bersidang semula. Atau mungkin lebih awal dari itu?" katanya.

Sebagai rekod, GPS pada bulan Februari menyatakan sokongan kepada Mahathir tetapi sebulan kemudian mengumumkan menyokong PN.

Usul undi tidak percaya yang dihantar Mahathir tidak dibenatang pada sesi parlimen 18 Mei lalu selepas ia diterhadkan untuk titah diraja.

Sidang itu cuma berlangsung sehari kerana mengambil pertimbangan wabak Covid-19 di negara ini.

Berdasarkan susunan kerusi Dewan Rakyat pada sidang berkenaan, 114 anggota parlimen berada di barisan kerajaan.

Namun, Masir Kujat menjelaskan bahawa kerusi beliau disalah leta di barisan kerajaan. Ini bermakna, Muhyiddin kemungkinan hanya mempunyai dua majoriti undi.