Skip to main
Logo Malaysiakini

Haramkan bedak talkum, gesa persatuan pengguna

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) supaya mengharamkan bedak talkum dan produk berasaskan bahan mineral itu.

Presidennya Mohideen Abdul Kader berkata talkum dikaitkan dengan kanser ovari dan masalah pernafasan.

Beliau turut merujuk bahawa kanser ovari merupakan kanser umum kelima di kalangan wanita di Malaysia dengan kira-kira 500 didiagnosis penyakit itu setiap tahun.

Dakwa Mohideen, talkum adalah produk beracun kerana zarahnya boleh menyebabkan tumor dalam ovari dan paru-paru.

“Penyelidik telah mengesan zarah talc dalam tumor ovari dan mendapati penghidap kanser ovari menggunakan bedak talkum pada alat sulit mereka lebih kerap berbanding wanita sihat,” katanya lagi.

Jelasnya, bedak talkum juga berisiko menjejaskan paru-paru – khususnya buat bayi- kerana zarahnya yang halus mudah masuk ke dalamnya.

“Menyedut debu bedak ketika menukar lampin diketahui telah menyebabkan kecederaan malah kematian bayi. Talc juga boleh menyebabkan laluan pernafasan bayi membengkak dan boleh mengakibatkan pneumonia.

“Selain itu bedak talkum turut dikaitkan dengan serangan asma dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.

Baru-baru ini syarikat gergasi penjagaan kesihatan Johnson & Johnson mengumumkan bahawa ia akan menghentikan penjualan bedak bayi Johnson berasaskan talkum keluarannya di Amerika Syarikat dan Kanada.

Firma AS terbabit berdepan dengan 16,000 saman daripada pengguna yang mendakwa produk itu menyebabkan mereka menghidap kanser.

 Sementara itu pengguna dinasihatkan menggunakan bedak yang diperbuat daripada tepung jagung atau tepung beras.

“Para ibu pula dinasihatkan supaya menggunakan minyak sapu dan tidak menggunakan bedak berubat untuk masalah ruam bayi,” kata Mohideen dalam satu kenyataan hari ini.