Skip to main
Logo Malaysiakini

'9 ketua bahagian Bersatu Kedah sanggah jumlah sokongan Dr M'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seramai sembilan ketua bahagian Bersatu Kedah disenaraikan sebagai menyanggah jumlah sokongan yang diterima Dr Mahathir Mohamad daripada ketua bahagian negeri itu.

Kenyataan itu sebagai menyanggah dakwaan Timbalan Ketua Bersatu Kedah, Anuar Abdul Hamid sebelum ini yang mengatakan tujuh daripada 15 ketua bahagian negeri itu menyokong Mahathir.

“Kami merujuk kepada kenyataan rasmi kononnya oleh ketua bahagian Bersatu Kedah petang tadi. Kenyataan itu adalah tidak benar dan tidak mewakili pendirian ketua bahagian Bersatu Kedah.

“Kenyataan itu dibuat oleh hanya tiga orang ketua bahagian dari 15 orang. Yang lain yang menandatangani kenyataan itu bukanlah ketua bahagian,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, dalam satu kenyataan Anuar mendakwa tujuh daripada 15 ketua bahagian Bersatu Kedah menyatakan sokongan buat Mahathir.

Pemimpin bahagian Bersatu yang disenaraikan Anuar dalam kenyataannya sebelum ini adalah dari Kubang Pasu (Amiruddin Hamzah), Alor Setar (Mohamad Nuhairi Rahmat), Kulim-Bandar Bahru (Azimi Daim), Pokok Sena (Muhammad Amri Wahab), Jerlun (A Aziz Mohamud) dan Langkawi (Shukor Bahari).

Untuk rekod, A Aziz (Jerlun) dan Shukor (Langkawi) masing-masing merupakan timbalan bagi Mukhriz dan Mahathir di peringkat bahagian.

Bagaimanapun, terdapat satu nama yang bertindih dan disebutkan dalam kedua-dua kenyataan itu.

Ia adalah ketua bahagian Bersatu dari Pokok Sena iaitu Muhammad Amri Wahab.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Muhammad Amri bagi mendapatkan penjelasan beliau.

Sembilan ketua bahagian yang disenaraikan dalam kenyataan terbaru yang menyokong Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin adalah Muhammad Amri (Pokok Sena), Shamsul Naim (Kuala Kedah), Mohd Nazri Abu Hassan (Sik), Khairul Annuar Ramli (Padang Serai), Syed Fadzil Syed Embun (Padang Terap), Mohd Faisal Tajuddin (Sg Petani), Taufik Yaakob (Baling), Abd Razak Khamis (Pendang) dan Suhaimi Abdullah (Jerai).

Kenyataan yang menyenaraikan sembilan ketua bahagian Bersatu Kedah itu menegaskan sokongan mereka terhadap Muhyiddin untuk menjadi pemangku pengerusi Bersatu.

“Kami yang berada di sini merupakan majoriti ketua bahagian dan kami semua menyokong penuh presiden parti memangku pengerusi Bersatu iaitu Muhyidin Yasin.

“Kami juga menyokong penuh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang telah memutuskan untuk keluar Pakatan Harapan (PH) dan menubuhkan gabungan Perikatan Nasional (PN),” kata kenyataan itu.

Perkembangan itu hadir ketika Bersatu terus menyaksikan konfik dalaman antara penyokong Muhyiddin dan penyokong Mahathir.

Konflik itu tercetus selepas pada Feb lalu, melalui "Langkah Sheraton", Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari PH dan menubuhkan kerajaan baru bersama PAS, BN dan beberapa parti lain.

Mahathir sebelum ini meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu. Bagaimanapun, ketika itu, Bersatu mengumumkan bahawa Mahathir masih merupakan pengerusi parti mereka.

Susulan perselisihan dalaman Bersatu, jawatan pengerusi kini menjadi pertikaian semula, dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berkata surat peletakan jawatan Mahathir sah dan Muhyiddin berhak memangku jawatan pengerusi.

Mahathir mempertahankan jawatan pengerusi selepas tidak dicabar dalam pencalonan baru-baru ini dan kini kem bekas perdana menteri menegaskan bahawa jawatan berkenaan masih milik beliau.