Skip to main
Logo Malaysiakini

'Dua Adun Bersatu lupa mereka jadi YB kerana PH'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dua Adun Bersatu Pulau Pinang yang menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) tidak meminta pandangan mengenai jawatan yang ditawarkan kepada mereka oleh kerajaan persekutuan, kata pengerusi Bersatu Pulau Pinang, Marzuki Yahya.

Marzuki berkata,  Khalid Mehtab Ishaq (Bertam) dan Zolkifli Md Lazim (Teluk Bahang) beralih arah walaupun telah menyatakan sokongan sebanyak dua kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow ketika Bersatu diumumkan keluar dari Pakatan Harapan (PH) pada bulan Mac lalu.

"Mereka telah memilih untuk mengutamakan jawatan sementara meninggalkan mandat rakyat," Marzuki kepada Malaysiakini.

Marzuki merujuk kepada pelantikan Khalid sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), sebuah agensi diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Manakala Zolkifli dilantik sebagai ahli jawatankuasa penasihat Mara Corp Sdn Bhd, yang merupakan cabang pelaburan Mara.

Marzuki berkata kedua-dua mereka lupa bahawa kerjasama dengan PH pada pilihan raya umum 2018 telah membawa kemenangan kepada mereka sehingga bergelar wakil rakyat.

Perkembangan terbaru itu menyaksikan lima Adun Pulau Pinang kini menyokong pembangkang, termasuk dua daripada Umno dan satu daripada PAS, manakala 35 Adun lagi menyokong kerajaan (PH).

Secara rasmi, Marzuki berkata Bersatu di Pulau Pinang adalah mesra PH.

"Saya tak ada apa nak cakap lagi, tetapi sebagai pengerusi negeri Pulau Pinang, saya akan sentiasa berpegang kepada prinsip yang kami tetap bersama Pakatan Harapan.

"Kenyataan mereka bahawa mereka telah menerima jawatan persekutuan dan mengisytiharkan diri mereka sebagai pembangkang di negeri ini adalah keputusan peribadi mereka sendiri," tegas Marzuki.

Kedudukan Marzuki sebagai setiausaha agung parti itu sendiri kini dipertikaikan apabila beliau dipecat oleh Muhyiddin pada Mac selepas presiden Bersatu itu tidak sehaluan dengan Dr Mahathir Mohamad.

Tidak dapat dipastikan sekiranya kerajaan PH akan mengambil tindakan terhadap kedua-dua Adun Bersatu berkenaan memandangkan Pulau Pinang telah meluluskan undang-undang antilompat parti pada tahun 2012.

Tindakan kedua-dua Adun itu bermakna pilihan raya kecil boleh diadakan di kawasan yang terlibat. 

Malaysiakini telah menghubungi Chow dan sedang menunggu jawapan beliau.

Speaker DUN, Law Choo Kiang masih belum diberitahu mengenai perubahan kerusi dalam DUN, yang akan bersidang lagi pada bulan November.