Skip to main
Logo Malaysiakini

'PN utamakan isi jawatan GLC, tapi tiada akta berkait Covid-19 sampai Sept'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

MP Bandar Kuching, Kelvin Yii mengkritik rancangan pemerintah PN untuk membentangkan rang undang-undang (RUU) menangani kesan ekonomi akibat wabak Covid-19 hanya pada persidangan Dewan Rakyat yang akan berlangsung pada Julai depan.

Lebih jauh lagi, beliau berkata RUU yang diluluskan oleh Dewan Rakyat kemudiannya perlu mendapat pengesahan oleh Dewan Negara yang tidak akan bersidang sehingga September.

Ini bererti tidak ada akta parlimen berkaitan dengan langkah bantuan akibat Covid-19 yang dapat menjadi undang-undang sehingga akhir September atau paling awal pada permulaan Oktober.

Anggota parlimen DAP itu menjelaskan kelewatan itu dipanjangkan lagi setelah Putrajaya menghadkan sidang parlimen pertama tahun ini pada 18 Mei hanya sehari dan enggan membenarkan perbahasan di Dewan Rakyat.

Sidang tersebut hanya mendengar titah Yang Di-Pertuan Agong untuk mematuhi kehendak perlembagaan yang mengatakan bahawa Dewan Rakyat mesti bersidang sekurang-kurangnya sekali setiap enam bulan.

"Baru semalam, Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan mengumumkan hasrat pemerintah untuk membentangkan rang undang-undang untuk menangani kesan ekonomi akibat Covid-19 kepada rakyat.

"Inilah sebabnya mengapa saya merasakan kerajaan sekarang salah dalam memilih keutamaannya.

"Semasa mereka sibuk mengisi jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan jawatan duta kkhas sebagai imbuhan politik, mereka sengaja menghindari parlimen walaupun banyak undang-undang penting untuk Covid-19 yang perlu diluluskan," katanya.

Yii berkata ini bermaksud rakyat Malaysia akan menghadapi wabak Covid-19 selama lebih dari setengah tahun tanpa undang-undang baru untuk membantu mereka.

"Sepanjang tempoh itu, hampir setahun, rakyat kita tidak mempunyai perlindungan undang-undang terhadap kesan ekonomi Covid-19. Kesan penyakit ini tidak akan menunggu sesiapa pun terutama kerajaan yang lambat bertindak balas," katanya.

Yii memberi contoh di Singapura pada awal April, kerajaan negara jiran itu meluluskan Akta (Langkah-langkah Sementara) bagi melindungi warganya daripada kesan ekonomi koronavirus baru itu.

Antara undang-undang yang diperkenalkan Singapura, katanya melibatkan akta untuk melindungi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak dapat memenuhi kewajiban kontrak mereka, menangguhkan proses kebangkrapan dan melindungi penyewa daripada pengusiran.

"Semua ini dan banyak undang-undang lain sangat penting dalam tempoh ini. Ini bukan sahaja krisis kesihatan tetapi juga akan menjadi krisis ekonomi bagi banyak orang.

"Walaupun Kementerian Kesihatan telah melakukan tugas yang baik untuk mengawal penyebaran penyakit ini, tetapi nampaknya bahagian kerajaan yang lain lambat dalam melindungi rakyat daripada kesan ekonomi akibat virus tersebut," katanya.

[Baca berita penuh]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.