'Kenapa lantik semula Shaik Hussein dalam Perda ketika masih ada kes mahkamah?'
Bekas pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) Haniff Khatri Abdulla mempersoalkan pelantikan semula Timbalan Ketua Umno Pulau Pinang Shaik Hussein Mydin ke dalam lembaga Perda.
Haniff mempertikaikan pelantikan itu berdasarkan dua tuntutan sivil terhadap Shaik oleh bekas lembaga Perda semasa era BN atas dua plot tanah yang dikatakan dijual di bawah nilai pasaran.
Shaik Hussein, yang dilantik sebagai timbalan ketua Perda dari tahun 2013 hingga 2019, baru-baru ini dilantik semula sebagai ahli lembaga pengarah Perda.
Sementara bekas pengerusi Perda dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Shabudin Yahya, yang berdepan tindakan undang-undang bersama Shaik Hussin, telah dilantik sebagai pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra).
Malaysiakini telah cuba menghubungi Shaik Hussein untuk mendapatkan komen.
Dalam catatan Facebooknya hari ini, Haniff Khatri menyorot bahawa kedua-dua saman itu masih dibicarakan di mahkamah.
"Sememangnya ia adalah tanggungjawab dan kuasa serta budi bicara menteri di Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang terkini iaitu Dr Abdul Latiff Ahmad untuk membuat lantikan ahli lembaga Perda yang berkaitan.
"Namun, persoalan yang penting yang perlu dibincangkan di sini adalah bukankah integriti dan tadbir urus agensi Perda akan dipersoalkan rakyat sebagai bakal terjejas, dengan pelantikan semula seorang bekas timbalan pengerusi dan ahli lembaga Perda terdahulu, yang masih menghadapi tindakan dan tuntutan sisvil yang diambil terhadapnya oleh Perda sendiri, di atas kausa tindakan antara lain, misfeans dalam jawatan dan/atau kemungkiran tanggungjawab fidusiari?
"Sebagai bekas pengerusi Perda, masih menjadi tanggungjawab saya untuk mengutarakan kemusykilan berhubung pelantikan semula Dr Shaik Hussein Mydin sebagai Ahli Lembaga Perda kerana ia mencetuskan pelbagai persoalan," katanya.
Haniff mempersoalkan bagaimana Shaik Hussein dapat menjalankan tugasnya ketika kedua-dua kes itu masih belum selesai di mahkamah.
"Apakah pula masa hadapan kedua-dua tindakan mahkamah yang diambil oleh Perda terhadap mereka yang disaman itu, dan adakah kedua-dua tindakan mahkamah itu akan dikompromikan, berlawanan dengan kepentingan Perda dan penduduk luar bandar dan miskin negeri Pulau Pinang?
"Bagaimana pula dengan moral dan tanggungjawab serta hak pihak pengurusan dan pegawai serta kakitangan Perda yang telah bertungkus lumus membantu ahli lembaga terdahulu dalam menyediakan bahan-bahan serta keterangan-keterangan, yang membantu keputusan oleh lembaga terdahulu untuk mengambil kedua-dua tindakan mahkamah terbabit, dan adakah pula kedudukan dan keselamatan pihak pengurusan, pegawai dan kakitangan Perda berkenaan juga akan dikompromi dan terjejas?" soalnya.
Haniff kemudian mendesak Abdul Latiff untuk mempertimbangkan semula pelantikan Shaik Hussein.
Pada 2016, Laporan Ketua Audit Negara 2015 telah menyebut Perda dan Shabudin didakwa menjual tanah di bawah harga pasaran, dan menyebabkan kerugian.
Pada 13 dan 14 Februari, Perda mengemukakan dua tuntutan terhadap Shabudin, Shaik Hussein dan bekas lembaga pengarah atas dua penjualan tanah yang didakwa dilakukan di bawah nilai pasaran.
Kedua-dua kawasan seluas 9.36 ekar itu berada di Kampung Tok Keramat, Nibong Tebal, bernilai RM17.7 juta dan 5.8 ekar di Sungai Baong, Jawi, bernilai RM1.9 juta.
Haniff mendakwa kes-kes tersebut melibatkan tuduhan penipuan, penyalahgunaan kuasa, dan kecuaian.
Shabudin menafikan melakukan sebarang kesalahan dan mempertahankan tindakan itu, dengan mengatakan bahawa tanah Kampung Tok Keramat dijual dengan harga murah pada harga RM1.2 juta kerana terletak berhampiran sungai dan terdedah kepada hakisan tanah.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai