Skip to main
Logo Malaysiakini

Taiwan janji 'bantuan wajar' buat warga Hong Kong

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

GLOBAL | Presiden Taiwan Tsai Ing-wen berkata pihaknya akan memberi "bantuan wajar" kepada penduduk Hong Kong, susulan protes terhadap China yang kembali hangat.

Protes tersebut susulan cadangan perundangan keselamatan nasional yang dicadangkan China.

Dalam satu kenyataan di Facebook semalam, Tsai berkata cadangan perundangan itu merupakan ancaman serius terhadap kebebasan Hong Kong serta kebebasan kehakiman di wilayah itu.

"Berdepan perkembangan semasa, masyarakat antarabangsa secara proaktif menghulurkan tangan kepada warga Hong Kong.

"(Taiwan) lebih-lebih lagi akan proaktif dengan sokongan-sokongan yang relevan, dan memberikan bantuan yang wajar kepada warga Hong Kong," katanya seperti dipetik Reuters.

Katanya lagi, tekanan bukanlah cara untuk menangani aspirasi Hong Kong terhadap kebebasan dan demokrasi.

Semalam, polis Hong Kong melepaskan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan ribuan yang berkumpul bagi membantah rancangan China.

Susulan protes di Hong Kong, sejumlah aktivis prodemokrasi Hong Kong meninggalkan wilayah itu untuk berlindung di Taiwan.

Menurut Reutes, Taiwan tidak memiliki undang-undang berkenaan pelarian yang boleh diguna pakai terhadap aktivis Hong Kong yang mencari suaka di sana, tetapi ia menyatakan warga Hong Kong yang diancam keselamatan dan kebebasan atas sebab politik akan dibantu.

[Baca berita asal]