Skip to main
Logo Malaysiakini

Maeps jadi pusat khusus rawat PATI positif Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) Serdang akan dikhususkan untuk merawat pendatang tanpa asing tanpa izin (PATI) di depot tahanan Imigresen yang telah dijangkiti Covid-19, menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Ismail berkata, untuk tujuan itu, pesakit yang kini menjalani kuarantin dan rawatan di sana dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Seperti yang kita tahu terdapat peningkatan kes positif Covid-19 di tiga depoh Imigresen, iaitu Depoh Imigresen Bukit Jalil, Depoh Imigresen Semenyih dan Depoh Imigresen KLIA.

"Mereka yang didapati positif di tiga depoh ini akan dihantar ke pusat kuarantin dan rawatan di Maeps Serdang.

"Maeps akan dijadikan sebagai pusat kuarantin khusus untuk Pati di depo yang didapati positif," katanya ketika sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Ismail berkata lagi, aspek keselamatan di Maeps sedang ditingkatkan, seperti pemasangan kawat besi serta kawalan oleh polis dan askar, bagi mengelakkan ada di kalangan mereka yang melarikan diri, seterusnya berisiko menularkan wabak itu kepada masyarakat di luar.

Terdahulu hari ini, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud memaklumkan seramai 207 daripada 13,929 warga asing yang ditahan di depo Imigresen di Semenanjung Malaysia telah dijangkiti wabak tersebut.

Beliau berkata, 110 daripada jumlah itu telah dihantar ke Maeps, manakala bakinya masih berada di depo tahanan.

Seramai 238 pegawai Imigresen di tiga depo tahanan tersebut juga telah diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari, katanya lagi.

Dalam pada itu, Ismail yang juga menteri pertahanan menggesa rakyat Malaysia agar tidak bimbang dengan penularan Covid-19 di kalangan Pati tersebut.

"Rakyat tidak perlu bimbang kerana mereka sudah pun terkurung di kawasan depo, jadi peluang untuk ia menular di luar hampir tiada.

"Kita juga telah buat saringan kepada semua tahanan dan juga pegawai. Mereka (Pati) yang didapati positif Covid-19 akan terus dihantar ke Maeps," katanya lagi.