Skip to main
Logo Malaysiakini

Kluster baru depoh tahanan imigresen dikesan di Sepang

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu kluster baru Covid-19 dengan enam kes di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Sepang, Selangor, iaitu kluster ketiga melibatkan DTI.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan dan sidang medianya hari ini.

"Ingin dimaklumkan bahawa terdapat satu kluster baru yang telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen di Sepang," katanya di Putrajaya hari ini.

Menurut beliau, sehingga 25 Mei jam 12 tengah hari, sebanyak 1,449 sampel telah diambil di mana:

- 36 kes positif Covid-19 dikesan (29 kes dilaporkan hari ini);

- 540 kes negatif Covid-19; dan

- 873 sampel masih menunggu keputusan.

Bagi kluster DTI Bukit Jalil, katanya, sebanyak 1,536 sampel telah diambil yang terdiri daripada 1,422 Orang Kena Tahan (OKT)dan 114 kakitangan.

Daripada jumlah tersebut, 126 kes adalah positif, 514 kes adalah negatif dan 896 sampel masih menunggu keputusan.

Bagi kluster DTI Semenyih pula, Dr Noor Hisham mengumumkan sebanyak 1,757 sampel telah diambil yang terdiri daripada 1,630 OKT dan 127 kakitangan.

"Daripada jumlah tersebut, 66 kes adalah positif, 753 kes adalah negatif dan 938 sampel masih menunggu keputusan," katanya.

Semalam, Dr Noor Hisham berkata KKM mengesan kewujudan satu kluster membabitkan warga asing di DTI di Semenyih, Selangor dengan 21 daripada 1,752 sampel yang diambil disahkan positif Covid-19.

Terdahulu, 60 kes Covid-19 dikesan di DTI Bukit Jalil.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata KKM dalam proses mengambil sampel pendatang tanpa izin di DTI Bukit Jalil dan Semenyih melibatkan 3,000 individu yang turut merangkumi petugas dua depoh tersebut.

Katanya mereka yang didapati positif akan dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Risiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).