Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: 187 kes baru, 62 sembuh, tiada kematian

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Buat hari kedua berturut-turut selepas hampir sebulan, kes baru jangkitan Covid-19 di negara ini terus mencatatkan tiga angka.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang akhbarnya di Putrajaya, hari ini, berkata sebanyak 187 lagi kes Covid-19 baru dicatatkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan adalah sebanyak 7,604.

Setakat tengah hari tadi, 62 lagi pesakit sembuh sepenuhnya, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih dari jangkitan wabak itu ialah 6,041 orang atau 79.4 peratus.

Ini menjadikan jumlah kes aktif Covid-19 sekarang adalah 1,448 kes.

Dr Noor Hisham berkata, daripada 187 kes baru yang dilaporkan itu, 10 kes terdiri daripada kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 177 kes penularan tempatan, 173 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 155 kes telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, dan 13 kes daripada Kluster Pengawal Keselamatan Cheras.

“Kes penularan tempatan di kalangan warganegara Malaysia adalah empat (4) kes sahaja,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, terdapat sembilan belas kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, lima kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada kematian dicatat hari ini, jumlah kumulatif maut kekal 115 kes atau 1.51 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.