23 individu hadir jamuan raya dikompaun RM1,000 seorang
Seramai 23 individu masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 selepas didapati berhimpun pada satu majlis jamuan Aidilfitri di sebuah rumah di Simpang Setia Jaya Guar Chempedak, Gurun malam tadi.
Ketua Polis Daerah Yan, DSP Shahnaz Akhtar Haji berkata tindakan dikenakan selepas kesemua mereka melanggar perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
“Sepasukan anggota polis yang melakukan rondaan penguatkuasaan PKPB di sekitar daerah ini telah menerima maklumat mengenai penganjuran majlis itu pada pukul 8.30 malam sebelum bergegas ke lokasi dan mendapati seramai 23 individu termasuk tuan rumah berhimpun di rumah tersebut.
“Pemilik rumah telah mengaku menjemput rakan dan saudara ke rumahnya untuk jamuan itu dan pemilik rumah mengatakan ada dalam kalangan yang hadir adalah rakan kepada rakan baiknya dan tidak mengenali mereka,” kata Shahnaz Akhtar dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, kesemua individu terbabit terdiri daripada 22 lelaki dan seorang perempuan, kesemuanya berusia antara 19 hingga 25 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Yan dan dikeluarkan surat kompaun.
“Kompuan dikenakan selepas mereka didapati melanggar arahan Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 iaitu aktiviti berhubung perayaan yang boleh menyebabkan ramai orang berhimpun,” katanya.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai