Skip to main
Logo Malaysiakini

'Perkenal akta baru tangani pemandu mabuk'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Beberapa ahli politik hari ini menggesa undang-undang baru diperkenalkan bagi menangani masalah pemandu mabuk sehingga mengakibatkan kemalangan maut.

Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan satu akta khusus bagi mengawal selia aspek penjualan dan pengambilan minuman keras, dengan menyifatkan peruntukan pada masa ini tidak memadai.

"Untuk langkah jangka panjang, sudah tiba masanya kerajaan menangani isu ini secara holistik termasuklah mengisi kelompongan perundangan, dengan memperkenalkan akta dalam mengawal selia dengan tegas aspek penjualan dan pengambilan minuman keras.

"Ketiadaan undang-undang khusus di peringkat persekutuan untuk mengawal selia penjualan dan pengambilan minuman keras, melainkan undang-undang oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) pasti menyulitkan penguatkuasaan dan pencegahan yang menyeluruh dan seragam," katanya dalam kenyataan.

Asyraf memberikan Singapura sebagai contoh yang melarang pengambilan minuman keras selepas pukul 10.30 malam.

Untuk tujuan itu, beliau mencadangkan jawatankuasa khas merangkumi beberapa kementerian serta kerajaan negeri untuk membuat penelitian dan merangka undang-undang baru itu.

Bagi langkah jangka pendek pula, beliau mencadangkan peningkatan kesedaran berkenaan mengenai kemudaratan minuman keras serta peningkatan hukuman terhadap pemandu mabuk.

Azan Ismail

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail pula mencadangkan satu akta baru yang bersifat pencegahan berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh apa-apa bahan, seperti alkohol dan dadah.

"Kemalangan maut mendatangkan rantaian kesan sosial dan ekonomi kepada ahli keluarga yg ditinggalkan secara mengejut.

"Meskipun undang-undang sedia ada di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, namun hukuman tersebut tidak memberi kesedaran malah denda atau hukuman maksimum pun tidak digeruni, serta tiada unsur pencegahan," katanya yang merupakan bekas anggota Parlimen Indera Mahkota.

"Orang ramai begitu berharap kerajaan yang turut dianggotai barisan tokoh agama dan mereka yang berpengalaman lama mentadbir negara berusaha membentuk unsur pencegahan ini sebelum terlambat," katanya lagi.

'Tingkat hukuman, bukan larang alkohol'

Semalam, berlaku satu lagi kemalangan maut melibatkan pemandu yang disyaki mabuk, apabila sebuah kereta Toyota C-HR yang dipandu melawan arus merempuh sebuah kereta di Kuantan.

Mangsa yang merupakan lelaki berusia 41 tahun meninggal di tempat kejadian, manakala suspek, lelaki berusia 42 tahun, direman empat hari bermula hari ini.

Susulan itu, PAS dalam kenyataan menggesa penggantungan pengeluaran dan penjualan arak sehinggalah isu itu diselesaikan.

Bagaimanapun Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh menyifatkan ia bukanlah jawapan, dan mencadangkan peningkatan hukuman dan pendidikan sebagai penyelesaian.

"Larangan alkohol bukan jawapan kepada masalah pemanduan mabuk, tetapi pendidikan serta penguatkuasaan dan undang-undang yang lebih tegas. PAS perlu berhenti mempolitikkan isu ini," katanya.

Ramkarpal Singh

Menjadikan Belgium dan Amerika Syarikat sebagai contoh, Ramkarpal berkata sejumlah negara telah melaksanakan kempen pendidikan dan perundangan yang lebih ketat untuk mengurangkan masalah itu.

"Penekanan yang lebih besar patut diberikan untuk mendidik orang awam berkenaan bahaya pemanduan mabuk dan salah guna alkohol, untuk mengelakkan lebih banyak kemalangan berkaitan alkohol berlaku," katanya lagi.

Semalam, bekas menteri pengangkutan Anthony Loke berkata pemandu mabuk mesti dihukum "seberat-beratnya" dan beliau telah merangka beberapa cadangan pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi memperketat undang-undang ketika masih menjadi menteri.

Antaranya ialah meningkatkan hukuman pemandu yang menyebabkan kematian daripada penjara maksimum 20 tahun dan menurunkan kadar alkohol yang dibenarkan daripada 80 mg alkohol kepada 50 mg alkohol dalam 100 ml darah, berdasarkan piawaian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).