Skip to main
Logo Malaysiakini

Kedutaan Indonesia sedia bantu proses hantar pulang warganya

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur sedang memantau pengumuman baru-baru ini bahawa semua pendatang asing yang berada di bawah tahanan Imigresen akan dihantar pulang selepas mereka disahkan bebas daripada wabak Covid-19.

Berikrar untuk berkerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia, jurucakap kedutaan itu, Agung Cahya Sumira berkata penghantaran pulang berkenaan adalah "proses yang kompleks" yang memerlukan penyelarasan antara pihak berkuasa di kedua-dua negara.

"Mengenai isu ini, kami sedang memantau pembangunan dasar oleh kerajaan Malaysia.

"Kami menghormati segala undang-undang dan peraturan-peraturan yang digunapakai di sini," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Agung berkata terdapat isu lain yang perlu diselesaikan selain memudahkan dokumentasi untuk semua pendatang tanpa izin dari Indonesia yang bakal dihantar pulang.

Terdapat sekitar 750,000 tenaga kerja asing dari Indonesia di Malaysia pada tahun lepas dan ini merupakan jumlah terbesar di antara semua negara yang menerima kemasukan pekerja asing dari republik berkenaan.

Namun jumlah pekerja Indonesia yang tidak memiliki dokumen yang sah dianggarkan jauh lebih besar meskipun serbuan dilakukan berulang kali oleh pihak berkuasa Malaysia.

Dalam kes-kes pengusiran sebelum ini, Agung berkata kedutaan itu akan diberi akses konsular untuk mengesahkan status kewarganegaraan individu yang ditangkap dan juga mengenal pasti daerah asal mereka di Indonesia.

"Kedutaan juga perlu menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan di Indonesia di peringkat persekutuan dan daerah berkaitan kepulangan mereka dan memastikan pematuhan kepada protokol kesihatan," kata Agung.

Beliau mengulas mengenai penghantaran pulang secara besar-besaran yang diumumkan oleh kerajaan Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha negara ini mencegah wabak Covid-19 di depot-depot tahanan imigresen.

"Inilah sebabnya mengapa saya kata ini isu yang kompleks," katanya menegaskan tidak timbul isu Indonesia akan menghalang penghantaran pulang warganya meskipun negara itu kini berdepan peningkatan kes Covid-19 setiap hari.

[Baca berita penuh]